SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa dalam operasi. FOTO ihsan JIM
SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa dalam operasi. FOTO ihsan JIM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bayaran sewa antara RM250 hingga RM300 sebulan menyebabkan sekumpulan warga asing sanggup menjadikan kawasan di Semabok, Melaka sebagai penempatan haram mereka sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun kawasan seperti satu perkampungan warga asing itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Melaka menjalankan Operasi Bersepadu dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dua lokas terbabit, malam tadi.

Timbalan Pengarah Imigresen Melaka, K Visnuhtaharan berkata, operasi itu dilaksanakan pada 12 tengah malam membabitkan 118 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan berkaitan kebanjiran warga asing di dua kawasan sekitar Jalan Pulau Senang dan Jalan Bunga Raya di Semabok.

"Seramai 145 orang warga asing termasuk kanak-kanak terdiri warga India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar diperiksa.

"Hasil dokumentasi dijalankan JIM menahan 16 warga asing terdiri daripada dua lelaki Bangladesh, dua lelaki dan dua wanita Indonesia, seorang lelaki Nepal, seorang lelaki India serta empat lelaki dan empat wanita Myanmar berusia antara 25 hingga 45 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Manakala selebihnya dibebaskan kerana pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.

Beliau berkata, penempatan warga asing itu wujud sejak beberapa tahun lalu dipercayai disewakan kepada kumpulan warga asing itu dengan bayaran RM250 hingga RM300 sebulan untuk setiap unit kediaman.

Katanya, ketika serbuan dijalankan terdapat segelintir warga asing yang berada di penempatan itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan anggota penguat kuasa.

"Ada premis terpaksa dipecahkan kerana kami tidak mendapat kerjasama daripada penghuni.

"Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki suatu dokumen atau pas yang disyaki palsu dan lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

"Semua tahanan akan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 10:25 PM