Segamat: Bau busuk yang dihidu penduduk berjaya membongkar kegiatan sindiket pemprosesan dadah di kawasan perumahan di Taman Jaya, Jementah, di sini, Isnin lalu.

Kegiatan itu terbongkar apabila sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat melakukan serbuan pada jam 6.50 pagi di kediaman terbabit.

Serbuan berkenaan menemui makmal mini memproses dadah jenis syabu yang dipercayai didalangi sebuah keluarga.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, serbuan berkenaan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat awam yang terhidu bau busuk di kawasan berkenaan.

Menurutnya, penduduk pada mulanya menyangkakan sistem perparitan di kawasan itu tersumbat kerana hujan sejak beberapa minggu lalu.

“Dalam serbuan itu, seorang wanita berusia 50 tahun bersama anak angkat perempuannya dan suami, masing-masing berusia 26 dan 28 tahun ditahan,” katanya pada sidang media di IPD Segamat, di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan terhadap keluarga itu kemudiannya membawa kepada penemuan syabu seberat 0.97gram yang disimpan di dalam sebuah kereta milik mereka.

Katanya, pihaknya juga menemui 12.4 gram dadah yang disimpan di bilik tidur kediaman terbabit selain pelbagai peralatan dan bahan kimia untuk memproses bahan terlarang berkenaan.

“Siasatan lanjut terhadap suspek kemudiannya menemukan sebuah lagi rumah yang terletak berhampiran rumah itu yang turut dijadikan tempat pemprosesan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:11 AM