Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Meskipun sudah dibebaskan dari penjara 12 tahun lalu namun seorang lelaki yang dipercayai pakar mengadun dadah masih tidak serik meneruskan kegiatan jenayah itu.

Bagaimanapun kegiatan suspek berusia 41 tahun yang menjadikan kediaman dua tingkat di Setia Alam di sini sebagai makmal memproses ratusan ribu pil ekstasi dan syabu akhirnya dibongkar susulan serbuan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor pada jam 6.15 petang, 14 Februari lalu.

Dalam serbuan itu, polis merampas dadah, bahan kimia, peralatan memproses dan kenderaan dianggarkan bernilai lebih RM12.5 juta sekali gus menjadikannya rampasan terbesar di Selangor sehingga kini.

Turut ditahan dalam serbuan sama adalah lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai rakan kongsi kepada lelaki berkenaan.

Ketua JSJN Selangor Asisten Komisioner Amran Ramli berkata, siasatan awal polis mendapati sindiket pemprosesan dadah itu sudah beroperasi sejak setahun lalu dan dadah yang dihasilkan adalah bagi kegunaan pasaran tempatan.

Menurutnya, kegiatan dilakukan suspek mengambil masa agak lama untuk dibanteras berikutan polis perlu mengenal pasti lokasi makmal dadah yang digunakan sindiket.

“Premis kediaman itu disewa sindiket dan kegiatan mereka dipercayai dilakukan pada waktu siang bagi mengelak diketahui jiran.

“Lokasi kediaman yang berada di kawasan elit itu juga menyukarkan pihak berkuasa menghidu kegiatan sindiket namun akhirnya kita berjaya memberkas mereka,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Amran berkata, polis berjaya merampas sejumlah 6,437 pil ekstasi, serbuk ekstasi seberat 93 kilogram (kg), serbuk dan ketulan dadah dipercayai syabu seberat 235kg, serbuk kafein seberat 109kg dan serbuk ‘precussor’ seberat 265kg.

Beliau berkata, suspek kini direman tujuh hari sehingga 21 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 9:14 AM
AMRAN menunjukkan serbuk pil ekstasi yang belum diproses pada sidang media di IPK Selangor semalam.
AMRAN menunjukkan serbuk pil ekstasi yang belum diproses pada sidang media di IPK Selangor semalam.
 SERBUK dadah dan kelengkapan memproses yang  dirampas.
SERBUK dadah dan kelengkapan memproses yang dirampas.