Kuala Lumpur: Penipuan pelbagai jenis pelaburan antara aduan paling ‘panas’ diterima Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan membabitkan kerugian keseluruhan bernilai lebih RM20 juta setakat November 2014.

Ia meliputi penipuan insurans, skim pelbagai peringkat, emas dan pelaburan hartanah semakin membimbangkan.

Paling mengejutkan, mangsa terdiri daipada golongan lepasan universiti yang menggunakan pinjaman untuk menyertai pelaburan.

Penipuan berkenaan tersenarai antara 31 masalah paling popular setakat 2014 direkodkan PPIM berdasarkan statistik aduan diterima daripada orang ramai.

Rekod persatuan itu turut mendapati masalah pinjaman ceti haram atau along merupakan aduan tertinggi dengan lebih 1,000 kes sepanjang tahun ini selain kegiatan judi yang menjadi punca kepada gejala sosial lain.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, Unit Tindakan Khas Ceti Haram PPIM menerima purata 50 kes seminggu daripada pengadu yang menerima ugutan daripada along selain perlanggaran terma pinjaman oleh ceti itu sendiri.

Katanya, hasil soal selidik bersama mangsa mendapati kekangan kewangan dan masalah perniagaan menjadipunca utama mereka terpaksa membuat pinjaman selain permohonan pinjaman ditolak bank.kerana senarai hitam dan lain-lain.

“Daripada senarai itu, kami juga terima aduan mengenai judi, gores dan menang.

“Saya kira sesuatu perlu dilakukan segera kerana jika tidak dibendung, ia akan menjadi barah dalam masyarakat,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Nadzim berkata, hasil maklumat diperoleh mendapati kes membabitkan ketegangan antara agama juga semakin ketara dengan penggunaan media sosial seperti Facebook dan Twitter oleh pihak tertentu dengan tujuan menimbulkan kemarahan dan sensitiviti kaum tertentu.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, PPIM menerima aduan setiap minggu mengenai cubaan individu tertentu membangkitkan kemarahan antara agama dengan mempersoalkan beberapa perkara termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan.

“Ada juga yang kesal dengan tindakan penguatkuasaan yang lemah. Sehubungan itu, PPIM meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) lebih tegas dalam soal tindakan kepada pemilik akaun sosial dan sebagainya,” katanya.

Antara masalah popular lain yang dirujuk kepada PPIM termasuklah urus tadbir perkhidmatan awam, ancaman tonto, dadah, perumahan terbengkalai, telekomunikasi, harga barang dan PATI.

Justeru, kata Nadzim, orang ramai yang ingin menyalurkan aduan atau berkongsi maklumat boleh berbuat demikian menerusi www.muslimconsumer.com atau menghubungi sekretariat PPIM di 0193591000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:02 AM