IDRIS (tiga dari kanan) pada perasmian Ind-E-Zone, semalam.
IDRIS (tiga dari kanan) pada perasmian Ind-E-Zone, semalam.

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan menyasarkan 80 peratus graduan di setiap universiti di seluruh negara mendapat pekerjaan yang sesuai melalui Pusat khidmat kerjaya pembabitan industri (Ind-E-Zone) yang berperanan meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa di seluruh negara.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, buat permulaan, Ind-E-Zone dilancarkan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebelum diperluaskan ke 11 lagi universiti awam terpilih menjelang tahun depan.

“Melalui kerjasama ini, pihak industri akan datang sendiri ke universiti berkenaan dari semasa ke semasa melihat apakah graduan yang bakal dikeluarkan universiti itu memenuhi keperluan mereka sekali us mengelakkan berlakunya ketidaksepadanan antara pembekal iaitu universiti dan permintaan industri.

“Ini usaha di peringkat awal dan lebih mendalam apabila pihak industri boleh menentukan kurikulum universiti agar sepadan dengan keperluan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Ind-E-Zone di UPNM, Sungai Besi, di sini.

Hadir sama Naib Canselor UPNM Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corp Malaysia Bhd (TalentCorp) Johan Mahmood Merican.

Idris berkata, pelaksanaan Ind-E-Zone dapat memperkasakan lagi silibus universiti menjadi lebih relevan dengan keperluan industri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 2:00 AM