Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) terus memperkasa bakat Malaysia menerusi inisiatif portal mynext yang dilancarkan hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, usaha proaktif itu bertepatan aspirasi kerajaan untuk terus melahirkan modal insan berpengetahuan, berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Menurutnya, hasrat itu selaras dengan perubahan landskap ekonomi dan pasaran pekerjaan semasa.

"Pembangunan portal mynext merangkumi tiga komponen yang memanfaatkan graduan, pekerja, syarikat dan institusi pendidikan.

"Usaha ini juga akan meningkatkan ketersediaan dan kebolehpasaran bakat Malaysia dan melengkapkan mereka dengan lebih baik untuk menghadapi cabaran pasaran kerja yang lebih kompetitif dalam tempoh pasca pandemik ini," katanya pada majlis pelancaran mynext, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew.

Saravanan berkata, tiga komponen utama portal mynext ialah mynext Talent, mynext University dan mynext Company.

"Menerusi komponen mynext Talent, bakat yang berdaftar berpeluang untuk menilai kekuatan dan memperbaiki jurang kemahiran mereka melalui lima modul penilaian profil kerjaya seperti nilai kerja, personaliti dan motivasi, kebolehkerjaan dan masa depan kerja serta satu modul penilaian kompetensi Bahasa Inggeris.

"Komponen mynext University pula, untuk institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institusi latihan kemahiran kini mempunyai akses kepada analitis bakat bagi institusi masing-masing melalui fungsi 'analytical dashboard'.

"Fungsi strategik ini penting dalam membangunkan program intervensi kebolehpasaran yang berasaskan bukti dan berfokus kepada individu. Di samping itu, 'dashboard' ini juga akan membantu institusi dalam memudahcara dan memantau pelaksanaan latihan industri dalam kalangan pelajarnya," katanya.

Beliau berkata, sehingga Julai 2022, terdapat lebih 170,000 profil bakat merentasi institut pengajian tinggi sudah mendaftarkan diri dengan platform berkenaan dan usaha itu adalah selaras fokus strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memantapkan perancangan guna tenaga negara mengikut keperluan industri bagi mengekalkan guna tenaga penuh.

"Bilangan ini dijangka terus meningkat secara organik melalui sesi bertemu dan bersama dengan pelajar seluruh negara," katanya.

Untuk komponen mynext Company pula, katanya, pihak industri digalakkan bekerjasama dan terbabit secara aktif dalam menawarkan latihan industri berstruktur kepada bakat muda negara melalui portal itu, dengan beroleh manfaat potongan cukai berganda di bawah pelaksanaan Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP).

Sementara itu, Dr Ahmad Masrizal berkata, beliau yakin melalui modul ditawarkan platform MyNext itu, pelajar akan dapat memeta kerjaya mereka secara lebih berstruktur dan strategik sejak daripada mula menjejakkan kaki ke IPT.

"Kebolehpasaran graduan memainkan peranan penting sebagai kayu pengukur terhadap kualiti dan keupayaan mereka untuk memenuhi kriteria dan kemahiran sebagai seorang pekerja oleh pihak industri.

"Dalam hubungan ini, KPT komited untuk berganding bahu bersama KSM dan Talencorp untuk mengoptimumkan sumber bakat pendidikan tinggi sedia ada. Ini penting bagi memacu pembangunan sumber manusia yang bukan sahaja produktif dan berkemahiran-pelbagai (multi-skilled), tetapi berdaya tahan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 9:58 PM
M Saravanan (tengah) bersama Dr Ahmad Masrizal Muhammad (tiga dari kiri) bergambar selepas melancarkan mynext by TalentCorp di Sime Darby Convention Jalan Bukit Kiara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
M Saravanan (tengah) bersama Dr Ahmad Masrizal Muhammad (tiga dari kiri) bergambar selepas melancarkan mynext by TalentCorp di Sime Darby Convention Jalan Bukit Kiara. FOTO HAZREEN MOHAMAD