SESI serah tugas daripada mantan Naib Canselor UPNM, Abdul Halim (kiri) kepada Hasagaya (kanan) sebagai Naib Canselor UPNM yang baharu sambil diperhatikan Dr Syed Azman (tengah). FOTO Ihsan UPNM
SESI serah tugas daripada mantan Naib Canselor UPNM, Abdul Halim (kiri) kepada Hasagaya (kanan) sebagai Naib Canselor UPNM yang baharu sambil diperhatikan Dr Syed Azman (tengah). FOTO Ihsan UPNM
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang baharu.

UPNM dalam satu kenyataan berkata, sesi serah menyerah tugas secara rasmi antara mantan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal kepada Hasagaya diadakan di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori, UPNM, hari ini.

"Beliau memulakan tugas secara rasminya pada 19 Disember lalu menggantikan Abdul Halim yang sudah berkhidmat sebagai Naib Canselor kelima UPNM pada 1 Mei 2018 sehingga 18 Disember 2020.

"Hasagaya sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat dan mempunyai latar belakang pendidikan akademik yang cemerlang," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM dan Pengurusan Tertinggi UPNM, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim.

Katanya, pelantikan berkenaan juga adalah berasaskan kepada kriteria yang ditetapkan dan memenuhi standard bagi maksud menjawat jawatan sebagai Naib Canselor.

"Beliau memahami dunia pertahanan dan keselamatan, aspek regimental ketenteraan serta memiliki jaringan antarabangsa dengan tentera luar negara.

"Selain itu, beliau juga memiliki kepakaran pengurusan pertahanan dan logistik, berpengalaman melatih, memahami pelbagai aspek keperluan ketenteraan serta sentiasa relevan dan konsisten untuk menerajui tampuk kepimpinan UPNM," katanya.

Pada masa sama, UPNM turut mengucapkan jutaan terima kasih atas semua sumbangan yang diberikan Abdul Halim dan mengucapkan selamat datang kepada Hasagaya sebagai Naib Canselor UPNM yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 6:48 PM