NOOR Hashim (tengah) menunjukkan senjata digunakan suspek.
NOOR Hashim (tengah) menunjukkan senjata digunakan suspek.

Nusajaya: Pergaduhan ketika mabuk arak dipercayai menjadi punca seorang lelaki cedera ditikam anak tirinya di satu kawasan perumahan di Selesa Jaya, di sini, tengah malam kelmarin.

Mangsa yang berusia 30-an, dikatakan melepak bersama dua anak tirinya di rumah sambil minum minuman keras sebelum berlaku salah faham antara mereka jam 12.52 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, pertengkaran menyebabkan dua anak tirinya berusia antara 30 hingga 32 tahun, membelasah mangsa dengan batang besi sebelum menikam belakangnya menggunakan pisau.

Katanya, melihat mangsa cedera, kedua-dua suspek melarikan diri sebelum ibu mereka yang berusia 40-an, melaporkan kejadian kepada polis.

“Anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian, menjalankan gerakan mengesan suspek dan mereka ditahan tidak jauh dari situ.

“Polis merampas pisau pemotong sayur sepanjang 25 sentimeter serta besi dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa,” katanya di sini, semalam.

Menurut Noor Hashim, siasatan mendapati semua yang terbabit dalam kejadian itu tidak tinggal bersama tetapi kedua-dua suspek yang tinggal berdekatan, pergi ke rumah mangsa untuk minum minuman keras.

Beliau berkata, polis sedang menunggu laporan perubatan mengenai tahap kecederaan mangsa tetapi dipercayai lelaki berkenaan ditikam sekurang-kurangnya dua kali di belakang.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif daripada penggunaan bahan terlarang.

“Suspek direman sehingga esok (hari ini) dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan menggunakan senjata berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:13 AM