IPD Nusajaya terkena tembakan tersasar.
IPD Nusajaya terkena tembakan tersasar.

Nusajaya: Tembakan dilepaskan dua lelaki yang dipercayai menyasarkan seseorang yang diburu mereka di Jalan Sutera Danga di sini, mengenai dinding bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, dua lelaki yang menaiki kereta berwarna putih mengekori sebuah kereta dipercayai dinaiki sasaran mereka sebelum tembakan dilepaskan.

Bagaimanapun, tembakan itu tersasar dan terkena dinding bangunan balai polis iaitu berdekatan papan tanda Balai Polis Nusajaya.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, siasatan awal di lokasi kejadian menjumpai tiga kelongsong peluru di atas jalan raya.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi menjejak suspek dan kita akan meneliti semua kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan berdekatan,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Hashim mengesahkan tiada sebarang kecederaan dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan kejadian berkenaan dipercayai ada kaitan dengan sindiket pinjaman wang haram atau along.

Selain mengenai dinding, tembakan berkenaan juga dipercayai terkena kenderaan dinaiki mangsa terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:34 AM