POLIS menunjukkan pistol mainan yang digunakan suspek.
POLIS menunjukkan pistol mainan yang digunakan suspek.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Nusajaya: Polis menahan empat lelaki kerana disyaki aktif dalam kegiatan memeras ugut dan meminta wang perlindungan, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, semua suspek berusia 18 hingga 42 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung sebuah pasar mini di Kangkar Pulai di sini, kira-kira 7 malam, yang didatangi suspek dan meminta RM400 sebagai wang perlindungan.

"Kurang lima jam daripada kejadian itu, polis berjaya menahan keempat-empat suspek pada 11.35 malam yang ketika itu berdiri di kaki lima deretan kedai di Bandar Baru Kangkar Pulai di sini.

"Polis turut merampas satu pistol mainan, satu beg silang, tiga telefon bimbit dan sebuah motosikal yang disyaki digunakan ketika melakukan pemerasan," katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman sehingga esok dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 12:24 PM