Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Selayang: Bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu, Rabu lalu.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 35, (gambar) membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Mengikut pertuduhan, Ezad didakwa memiliki satu peket lut sinar dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.3 gram di kawasan Kompleks Selayang Mall, Selayang Utama jam 1.30 petang, 19 November lalu.

Bagi pertuduhan berkenaan, penyanyi yang popular dengan lagu Jesnita itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya S Arunjothy manakala Ezad tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Arunjothy menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Ezad membayar jaminan itu.

Rabu lalu, penyanyi itu ditahan di pekarangan sebuah pusat membeli-belah di Selayang dalam Operasi Tapis yang dilakukan sepasukan anggota dari IPD Gombak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:14 AM