Shah Alam: Bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih efektif dan mesra pelanggan, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Sdn Bhd Selangor akan membuat pengkhususan di dua pusat pemeriksaannya mengikut kenderaan perdagangan dan kenderaan persendirian bermula 3 November ini.

Dua pusat pemeriksaan PUSPAKOM di Padang Jawa Seksyen 16 dan Seksyen 28, masing-masing akan hanya membuat pemeriksaan mengikut kenderaan yang dikhususkan berbanding sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Mohammed Shukor Ismail berkata, perubahan serta penambahbaikan yang dilakukan bertujuan memberi keselesaan berterusan kepada pelanggan serta komuniti sekeliling selain melancarkan aliran trafik.

“Bermula 3 November ini, PUSPAKOM Seksyen 28 dikhususkan untuk pemeriksaan bagi kenderaan perdagangan Berat Dengan Muatan (BDM) 6,0000kg ke atas manakala PUSPAKOM Padang Jawa pula dikhususkan untuk kenderaan persendirian dan kenderaan ringan BDM 5,999kg ke bawah.

“Selain melakukan pengkhususan itu, turut dilakukan ialah penambahbaikan apabila pertambahan lorong pemeriksaan turut dilakukan yang mana lorong pemeriksaan peringkat pertama ditambah daripada tiga kepada lapan lorong manakala lorong pemeriksaan peringkat kedua pula ditambah daripada dua kepada empat lorong di PUSPAKOM Seksyen 28,” katanya.

Katanya, untuk pusat pemeriksaan PUSPAKOM Padang Jawa pula, jumlah lorong pemeriksaan kenderaan ringan akan ditambah daripada empat kepada enam lorong di samping dilengkapi dengan kaunter bayaran pandu lalu bagi memudah dan mempercepatkan lagi proses pemeriksaan kenderaan pelanggan.

Berikutan pengkhususan lorong pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM Shah Alam dan Padang Jawa, lorong pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM Banting akan beroperasi semula bagi memberikan kemudahan kepada pelanggan bermula 3 November hingga 28 November 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:08 AM