Puspakom.
Puspakom.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan persendirian boleh dilakukan di 39 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Semenanjung mulai esok.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif berkenaan yang dilaksanakan secara berperingkat buat permulaan hanya membabitkan kenderaan persendirian sama ada dimiliki oleh individu mahupun syarikat.

"Seterusnya, inisiatif ini akan diperluaskan kepada urusan pembaharuan LKM motosikal dan kenderaan e-hailing yang dijangka mula dilaksanakan pada November depan.

"Sebelum ini urusan pembaharuan LKM di Puspakom hanya membabitkan kenderaan barangan dengan berat 7,500 kilogram ke bawah yang dilaksanakan sejak tahun lalu," kata kenyataan itu.

Katanya, inisiatif menambah saluran bagi urusan pembaharuan LKM adalah bagi meningkatkan tahap perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan, serta untuk memudahkan rakyat mendapatkan akses perkhidmatan dengan lebih meluas.

Orang ramai yang ingin membuat urusan pembaharuan LKM di Puspakom boleh menetapkan janji temu secara dalam talian di laman portal https://lkm-appoinment.puspakom.com.my dan urusan tanpa janji temu (walk-in) tidak dibenarkan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Kaedah pembayaran yang diterima di kaunter Puspakom pada masa ini adalah secara tunai," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Puspakom di talian 03-51017000, e-mel [email protected], mesej peribadi di Facebook rasmi Puspakom Sdn Bhd atau perbualan langsung melalui laman sesawang Puspakom di www.puspakom.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 4:06 PM