Cyberjaya: Pelaksanaan sistem percukaian Cukai Keuntungan Modal (CGT) seperti yang diusulkan pembangkang boleh menjejaskan pelaburan dalam negara serta pelaburan asing.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, analisis yang dibuat pakar cukai di negara ini menjelaskan pelaksanaan CGT boleh menjejaskan ekonomi negara secara keseluruhan.

Berikutan itu, katanya, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan CGT seperti dicadangkan pembangkang sebagai alternatif kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di negara ini.

"Sekiranya CGT dilaksanakan, keuntungan daripada modal tidak dapat diagihkan sepenuhnya, sekali gus menyebabkan pelabur dalam dan luar negara tidak mendapat keuntungan sewajarnya daripada hasil usaha mereka.

"Kemudian, mereka juga tidak dapat memanfaatkan modal untuk mengembangkan perniagaan dan pelaburan di negara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Taklimat Bajet 2015 di Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, semalam.

Ahmad berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperkenalkan dua dasar cukai termasuk alternatif kepada GST iaitu CGT dan Cukai Warisan Harta (IT) bagi pemindahan aset dalam kalangan golongan berada.

Pada 9 Oktober lalu, Anwar membahaskan Bajet 2015 dengan mencadangkan pelaksanaan CGT dan IT bagi menggantikan GST.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan pada masa ini hanya mengenakan satu komponen CGT iaitu kepada jualan hartanah yang dinamakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi mengelakkan aset atau hartanah dimanipulasi pihak tertentu untuk mengaut keuntungan melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:16 AM