DR Huda.
DR Huda.
DR Huda dalam persalinan penuh ketika latihan penerbangan udara.
DR Huda dalam persalinan penuh ketika latihan penerbangan udara.
KETIKA menyampaikan ilmu dalam salah satu program Han.
KETIKA menyampaikan ilmu dalam salah satu program Han.
ANAK dan suami kekuatan Dr Huda dalam mencapai cita-cita.
ANAK dan suami kekuatan Dr Huda dalam mencapai cita-cita.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Manis dan mudah tersenyum apatah lagi selepas wajahnya dirias indah jurusolek, sedikit pun tidak menampakkan wanita ini sebenarnya menggalas tugas mencabar sebagai doktor di medan pertempuran.

Kerjaya sebagai doktor perubatan untuk seorang wanita mungkin kedengaran terlalu biasa, namun tugas figura ini bukan calang-calang. Mejar Dr Nurul Huda Ibrahim ini antara sebilangan kecil doktor perubatan penerbangan wanita yang berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tidak seperti tugas hakiki seorang doktor perubatan biasa, kerjaya ini menuntut cabaran yang luar biasa malah Dr Huda sendiri harus menjalani latihan khas khusus untuk anak kapal seperti terjunan bebas dari ketinggian 10 ribu kaki dan latihan tanpa graviti.

Jika pandangan skeptikal terhadap kemampuan wanita dalam kerjaya yang dimonopoli lelaki, figura ini membuktikan sebaliknya. Ini kerana, di Malaysia, kerjaya ini amat eksklusif dan tidak ramai doktor perubatan mempunyai kepakaran seperti ini.

Skop tugasnya yang membabitkan kerjasama dengan juruterbang pesawat pejuang seperti (FA-18), membuatkan ia satu kerjaya yang unik dan menarik.

Kesempatan menemu bual wanita penting di sebalik badan pertahanan udara ini tidak dilepaskan begitu saja, malah banyak pengalamannya mengajar kita bahawa ‘insan lemah’ yang lebih sinonim dengan dapur dan buaian ini juga setanding kudrat kaum Adam, malah lebih dari itu menggalas tugas sebagai ibu di rumah.

Kemahiran perubatan dalam bidang penerbangan ini sememangnya tidak ramai diceburi wanita kerana skopnya yang amat mencabar dan Dr Huda adalah salah seorang doktor wanita yang mempunyai kepakaran ini di Malaysia.

“Bermalam di dalam hutan, memikul beg berat, mengangkat senjata, latihan ketenteraan dan kemungkinan seperti ditembak, dijadikan tebusan, diserang pihak musuh kedengaran menggerunkan untuk seorang wanita, bukan?

“Tapi semua ini adalah sebahagian realiti yang perlu ditempuhi oleh doktor perubatan tentera. Mungkin ada yang tertanya atau tidak tahu, doktor juga perlu menjalani latihan ketenteraan yang sama dengan anggota lain.

“Apa yang membezakan kami adalah sebagai doktor perubatan, saya melatih juruterbang dan anak kapal untuk sentiasa bersiap siaga dan memastikan kesihatan mereka pada tahap terbaik.

“Saya juga memberi pendedahan kepada tentera risiko kemungkinan yang dihadapi apabila mereka menerbangkan pesawat serta penyakit tertentu berkaitan tugas di stratosfera angkasa.

“Boleh dikatakan tugas doktor perubatan penerbangan udara lebih mencabar kerana kami juga perlu menjalani banyak tugas di lapangan. Namun, disebabkan minat, saya sendiri gemar mengikuti latihan penerbangan dalam pesawat pejuang dan tidak kisah memakai sut lengkap terbang seberat 10 kilogram serta melakukan penerjunan udara,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, dia bertuah kerana suaminya Mejar Dr Hanisyam Hanafi, 33, yang juga Pegawai Pemerintah Perubatan di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) turut memberi galakan untuknya mengejar cita-cita.

Dr Huda sebelum ini berpengalaman luas sebagai doktor dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama tujuh tahun sebelum dirinya sendiri rela hati memohon menyertai TUDM sejak Disember 2015.

Mungkin tidak ramai doktor perubatan yang berminat meneruskan perkhidmatan mereka di lapangan perang, namun bagi Dr Huda, kesukaran itu tidak pernah menjadi penghalang meneruskan kerjaya.

Berlatih seperti askar, berkawad, menjalani latihan kecergasan, masuk hutan, pikul beg mencecah 15 kilogram sehari dan sebagainya antara yang pernah dihadapi wanita ini namun tidak sekelumit pun rasa menyesal terbit di hatinya kerana memilih kerjaya itu.

Pengalamannya mengikuti latihan ketenteraan selama 20 hari di dalam hutan sekitar Mersing, Johor, termasuk latihan berkawad, menembak serta latihan kecergasan antara memori yang tidak mungkin dilupakan.

“Saya berbadan kecil dan bayangkan saya kena berlari di tepi pantai dengan memikul beg seberat 15 kilogram. Mengikuti latihan ini bukan wajib, bagaimanapun saya mahu merasai sendiri keadaan di lapangan kerana jika saya sendiri tidak tahu mengenai tugas mereka, mengenal pasti risiko kecederaan yang boleh berlaku di lapangan dan bagaimana saya boleh menjalankan tugas.

“Saya seorang saja wanita yang mengikuti latihan itu dan tidak mandi berhari-hari kerana segan. Malah, ketika itu saya betul-betul baru habis pantang anak pertama,” katanya.

Selain itu, sifatnya yang ingin membantu orang ramai bukan saja dalam dunia perubatan tetapi juga perniagaan dengan menubuhkan syarikat konsultasi, Han Legacy.

Memperkenalkan konsep dua gaji dalam sebulan, wanita besi ini sudah melahirkan lebih kurang 1,000 usahawan di bawah syarikat ini. Di samping aura positifnya sebagai golongan profesional di arena ini, dia berpegang pada moto hidup ‘seseorang individu tidak akan tahu sesuatu perkara yang mereka boleh buat, jika mereka tidak memulakan langkah untuk melakukannya’.

Menerusi program itu katanya, anak didiknya terdiri daripada golongan profesional seperti doktor perubatan, ahli geologi, saintis dan ilmuwan seperti pensyarah dan guru.

Tidak melupakan komuniti di sekeliling, Dr Huda dalam perancangan merealisasikan tanggungjawab sosial korporat dengan memperkenalkan kempen 1Han for Ummah. Ia satu kempen yang ingin membantu komuniti sekeliling dengan menghulurkan sumbangan tidak kira tenaga kerja mahupun wang.

Projek itu dilaksanakan kerana kumpulan Han terdiri daripada pelbagai golongan profesional seperti doktor perubatan, maka pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada golongan yang memerlukan antara program yang direncana.

“Nampak seperti kehidupan saya begitu sibuk, bukan? Tambahan pula menggalas tugas sebagai isteri dan ibu kepada dua anak saya berusia enam dan empat tahun pasti menuntut pengorbanan.

“Saya memegang konsep, kebahagiaan hakiki datang daripada keluarga yang utuh. Jadi saya amat mementingkan hubungan antara suami dan anak untuk menjalani sebuah gaya hidup keluarga yang diredhai Ilahi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 12:57 PM