BERSAMA keluarga sebelum berangkat ke misi Pakistan 2005
BERSAMA keluarga sebelum berangkat ke misi Pakistan 2005
Nurul Husna Mahmud


SETIAP kali melihat arwah ayahnya, Yaacob Junoh menyarung seragam ketika berkhidmat bersama pasukan Polis Hutan Pangkalan Chepa Kelantan pada 1970-an, setiap kali itulah juga hatinya menanam tekad untuk mengenakan seragam.

Mantan Pegawai Waran 1 (Bersara) Kor Kesihatan DiRaja (KKD) Nooritha Yaacob berkata, sejak kecil pemandangan yang sering menghias matanya ialah betapa segaknya individu mengenakan seragam dan setiap kali terpandang anggota keselamatan menaiki trak pasti hatinya berbunga.

Justeru sebaik saja tamat sekolah di Endau, Mersing, Johor kerana mengikuti bapanya berkhidmat di sana, dia mencuba nasib termasuk menyertakan permohonan bagi mengisi jawatan perajurit angkatan tentera darat yang diiklankan di akhbar pada 1990-an.

Dia yang juga anak sulung daripada empat beradik perempuan berkata, disebabkan terlalu minat terhadap anggota keselamatan, dia menolak jawatan lain termasuk kerjaya stabil dalam sektor korporat.

“Saya memang dari kecil sudah berangan-angan untuk menyertai sebarang kerjaya yang mengenakan seragam. Saya pernah cuba memohon polis, tetapi ketinggian pula tidak lepas.

“Kemudian terbaca pula iklan tentera untuk jawatan peringkat rendah wanita, saya terus mohon dan Alhamdulillah terpilih mengikuti ujian akhir Pemilihan Rekrut di Pusat Latihan Askar Wataniah Ipoh, Perak pada Januari 1991 sehingga berjaya diterima mengikuti latihan selama enam bulan.

“Selepas latihan demi latihan, batch pengambilan pelatih ketika itu iaitu Tentera Darat Wanita siri 1/1991 seramai 158 anggota diserap ke unit tertentu berdasarkan pencapaian dan kemahiran.

“Saya diserap ke Kor Kesihatan Angkatan Tentera (sekarang dinamakan Kor Kesihatan DiRaja) dan Unit pertama saya di 95 Hospital Angkatan Tentera Kinrara, Puchong, dan beberapa bulan berikutnya melaporkan diri mengikuti Kursus Penolong Jururawat Siri 15/91 seramai 16 orang di Sekolah Kor Kesihatan, Kem Terendak, Melaka selama dua tahun (sekarang dinamakan INSAN), dan meneruskan kursus kenaikan pangkat dan band gaji iaitu KADAR WANITA Siri 09/93 selama sebulan.

KONTINGEN Malaysia (Malcon) 3 yang menyerati Tentera Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) dalam misi ke Pakistan pada 2011.
KONTINGEN Malaysia (Malcon) 3 yang menyerati Tentera Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) dalam misi ke Pakistan pada 2011.

“Kembali semula berkhidmat di 95 Hospital Angkatan Tentera Kinrara, saya terus meningkatkan kemahiran apabila menjalani Diploma Kejururawatan dalam tempoh dua tahun setengah di Kolej Kejururawatan Melaka.

“Setelah berhasil mendapat sijil Jururawat Terlatih kerjaya saya iaitu berkhidmat secara rasmi di 96 Hospital Angkatan Tentera Lumut di Lumut Perak. Cabaran banyak apatah lagi saya masih ingat waktu habis latihan saya sudah mendirikan rumah tangga bersama suami pertama tetapi terpaksa menjalinkan hubungan jarak jauh.

“Kemudian anak pula terpaksa ditinggalkan bersama keluarga, tetapi atas dasar tanggungjawab iaitu kepada negara serta masyarakat selain minat mendalam membuatkan saya fokus dalam setiap tugasan diberi,” katanya.

Menceritakan detik paling mencabar sepanjang pembabitannya dalam misi luar negara kata Nooritha, setiap misi itu dilihat sebagai peluang untuk merantau menjengah dunia orang selain memahami kedaifan serta pergolakan yang melanda di luar.

“Sebagai anggota keselamatan memang tugas kena sentiasa bersedia. Jadi isu kena ke luar negara dan tinggalkan keluarga berbulan lamanya itu sudah menjadi lumrah.

“Pada saya waktu misi pertama di Pakistan, saya sudah bercerai dengan suami dan komitmen saya kembali kepada keluarga di kampung iaitu orang tua.

“Walaupun saya anak perempuan, keluarga tidak pernah sekali pun menghalang setiap kali saya mengikuti misi ke luar negara. Bapa saya terutamanya menggalakkan saya ke luar negara kerana padanya itu rezeki serta peluang yang diberi dipergunakan sepenuhnya ke arah kebaikan dan memberi khidmat bantuan kepada pihak yang memerlukan.

“Tetapi dalam tiga misi yang disertai, misi kedua iaitu ketika mengetuai Unit Perubatan Malaysia pertama (Malaysian Medical Unit) di Sahara Barat, pelbagai cabaran yang dihadapi dan momen itu paling banyak meninggalkan kesan.

“Waktu tugasan berbaki lagi beberapa minggu untuk pulang ke Malaysia, saya menerima panggilan daripada adik ipar yang menceritakan keadaan bapa yang berada dalam wad di Hospital Ipoh.

“Bapa didiagnosis menghidap Pneumonia dan kesihatannya semakin merosot. Sudahlah menjelang hari raya dan kebetulan ada slot untuk anggota di perantauan membuat ucapan kepada ahli keluarga.

Bersama komander tentera antarabangsa Kurt Mosgaard pada misi Sahara Barat 2006.
Bersama komander tentera antarabangsa Kurt Mosgaard pada misi Sahara Barat 2006.

“Saya antara anggota bertugas yang berkesempatan merakam ucapan itu lalu maklumkan pada keluarga. Mereka maklum sepanjang arwah sakit, dia akan tunggu di depan kaca televisyen di bilik rehat wad untuk melihat saya.

“Dalam keadaan dia sakit, setiap hari dia akan pergi ke kaca televisyen hinggalah apabila sudah tidak mampu bergerak lagi keluarga beli televisyen kecil untuk diletakkan di atas meja berdekatan katilnya .

“Tetapi hajat bapa tidak sampai apabila ia hanya disiarkan selepas dia meninggal dan waktu siaran ucapan keluar, saya menangis kerana memikirkan hajat arwah untuk melihat saya tidak kesampaian.

“Mujurlah sehari sebelum dia meninggal. kami sempat berbual menerusi panggilan Skype dan saya tidak boleh gambarkan perasaan waktu itu memang ingin terbang ke Malaysia serta-merta. Apakan daya situasi tidak mengizinkan dan saya akur untuk teruskan tugas,” katanya antara anggota pernah menerima anugerah Pingat Bintara Angkatan Tentera (BAT) pada 2007.

Meskipun mempunyai karisma anggota tegas tetapi beliau mudah didekati kerana personaliti yang mesra serta merendah diri.

“Saya sangat menghargai barang dan cermat. Rasanya karakter saya ini banyak diwarisi daripada arwah bapa. Beliau bukan saja sangat cermat dalam menguruskan perbelanjaan malah, antara lain ialah sikap tekun dan semangat untuk maju itu tinggi.

“Bayangkan meskipun sudah berkhidmat dalam polis dan mempunyai keluarga, dia masih ada masa untuk ambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sanggup mengulang dua kali peperiksaan itu bagi mencapai keputusan yang diharapkan. Dia memang ikon saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 5:05 AM