KAPTEN Mardiana. FOTO Effendy Rashid
KAPTEN Mardiana. FOTO Effendy Rashid
Intan Mas Ayu Shahimi


ANDAI dulu menyarung overall hijau sebagai juruterbang pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kini anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini sudah bertukar arah.

Pengalaman yang dikutip sepanjang hampir 20 tahun berkhidmat sebagai anggota tentera udara membuka ruang kerjaya lebih selesa buat Kapten Mardiana Razali. Paling penting, kerjaya yang diceburi kini adalah profesion yang pernah diimpikan ibunya sebaik wanita ini menamatkan usia persekolahan.

Mendengar kisah wanita ini, ibarat menyuntik semangat untuk mencabar kemampuan diri. Biarpun menyandang gelaran ibu tunggal, Mardiana tidak mahu mudah mengalah.

Anak kedua daripada lima beradik ini sentiasa sedar kemampuan diri untuk terus bangkit. Dia mahu melihat tiga anaknya tersenyum bangga memiliki ibu sepertinya.

“Sebelum bergelar jurulatih penerbangan di Layang-Layang Flying Academy, saya pegawai tentera berpangkat Mejar TUDM. Di sana, saya menyandang tugas sama.

“Kalau hendak diikutkan, minat menjadi juruterbang wujud sejak di bangku sekolah. Walaupun ibu dan ayah pada awalnya mahu saya menjadi guru, mereka tetap memberi dorongan serta semangat.

“Saya juga berjaya melalui semua temu duga dan terpilih melanjutkan pengajian di sebuah maktab perguruan di Melaka. Namun akhirnya saya nekad menerima tawaran Kolej Tentera Udara dan mengambil jurusan Mekanikal Aeronautikal selama tiga tahun,” katanya.

Jelas Mardiana, tamat pengajian diploma, dia ditauliahkan sebagai pegawai tentera berpangkat leftenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan meneruskan latihan sebagai pelatih penerbangan di Pusat Latihan Terbang 1 (PULATIBANG 1).

KOMITED memberi tunjuk ajar kepada pelatih. FOTO Effendy Rashid
KOMITED memberi tunjuk ajar kepada pelatih. FOTO Effendy Rashid

“Tamat kursus, saya dianugerahkan sayap penerbangan dan diserap sebagai juruterbang pengangkut. Rentetan itu, saya terpilih menerbangkan pesawat C130 Hercules milik TUDM.

“Banyak pengalaman dan kenangan manis dikutip sepanjang berkhidmat dengan TUDM. Saya pernah ditugaskan di No 14 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan selama tujuh tahun, ditukarkan ke No 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang selama empat tahun, seterusnya diberi kepercayaan dan peluang untuk menjalani kursus Jurulatih Penerbangan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar.

“Satu perjalanan yang cukup panjang, namun manis untuk dikenang. Bagi saya, menjadi juruterbang adalah pekerjaan yang amat mencabar dan memberikan pelbagai pengalaman yang menarik. Saya perlu bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal yang tinggi,” katanya.

Mengenang kembali tugasnya sewaktu ketika dulu, Mardiana berkata, dia pernah terbabit secara langsung dalam misi pencarian MH370 di Perth, Australia.

“Saya menyandang tugas sebagai Komander Pesawat C130H di Perth selama sebulan. Ia pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang berada dalam TUDM kerana misi berkenaan membabitkan banyak negara termasuk China, Jepun, Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia.

“Selain pencarian MH370, saya juga pernah terbabit dengan misi bantuan kemanusiaan ketika berlaku banjir besar di Kelantan pada tahun sama, diikuti misi bantuan kemanusiaan di Filipina yang ditimpa bencana Taufan Hayyan.

“Alhamdulillah, selepas kira-kira 20 tahun bersama TUDM, saya akhirnya kembali kepada masyarakat. Saya berbangga kerana berjaya menjadi jurulatih. Kerjaya ini sama seperti guru. Secara tidak langsung, cita-cita dan impian ibu melihat saya menjadi pendidik tercapai juga walaupun bukan cikgu di sekolah,” katanya.

BERBANGGA kerana berjaya menjadi jurulatih. FOTO Effendy Rashid
BERBANGGA kerana berjaya menjadi jurulatih. FOTO Effendy Rashid

Ramai wanita seperjuangan

Melihat beza dulu dan sekarang, kata Mardiana, dia seronok apabila kerjaya sebagai juruterbang semakin banyak diisi wanita berkaliber.

“Memang kebelakangan ini jumlah juruterbang wanita semakin bertambah. Ia membuktikan wanita semakin diterima dalam bidang yang mencabar ini.

“Saya sendiri sudah melaluinya dan percaya wanita berupaya menjalankan tugas setanding lelaki. Bahkan

jika mereka kekal dalam disiplin, tidak mustahil berjaya dengan cemerlang,” katanya.

Menurut Mardiana, dia masih teruja meneruskan kerjaya, apatah lagi diberi peluang menceburi bidang sama dengan situasi berbeza.

“Dulu saya melatih juruterbang tentera. Kini melatih pelatih juruterbang yang akan menerbangkan pesawat komersial selepas mereka tamat latihan.

“Memang tidak banyak yang berbeza, malah saya menggunakan sepenuh pengalaman di TUDM dan menerapkan disiplin sama kepada pelatih akademi sekarang,” katanya.

Walaupun sibuk, wanita ini mengakui bertuah kerana masih punya ibu bapa yang sudi membantu menguruskan anak sepanjang ketiadaannya.

“Sebagai ibu tunggal, saya perlu pandai membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Biasanya, hujung minggu memang dihabiskan bersama keluarga. Anak pula memahami kerjaya saya sebagai juruterbang dan jurulatih.

“Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan kerjaya sekarang. Saya berpuas hati apabila berjaya menunaikan impian ibu. Jika diberi peluang, saya juga bercita-cita hendak menerbangkan pesawat komersial terbesar yang ada pada masa kini,” katanya tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 5:01 AM