CICAK frilled neck aktif pada siang hari.
CICAK frilled neck aktif pada siang hari.
Hafiz Ithnin


APABILA haiwan berdarah sejuk ini mengembangkan lehernya akan kelihatan seperti ganas dan merbahaya tetapi hakikatnya cicak frilled neck yang mampu mempunyai panjang sehingga (36 inci) itu adalah haiwan yang penakut!

Justeru, bagi mereka yang gemarkan segmen haiwan eksotik sebagai haiwan kesayangan, cicak frilled neck antara yang menjadi pilihan.

Mempunyai warna dan perwatakan yang unik dan jangka hayat sehingga 20 tahun, sebenarnya cicak frilled neck haiwan yang mudah didapati di Australia dan Papua New Guinea.

Nama saintifik reptilia itu adalah Chlamydosaurus kingii. Selain dikenali sebagai frilled neck, ia juga diberi gelaran sebagai frilled lizards dan frilled dragons.

Menurut portal haiwan kesayangan, The Spruce Pets, frilled neck adalah haiwan kesayangan reptilia yang memerlukan penjagaan khusus dari segi diet, kelembapan dan suhu yang sesuai.

Jelas portal itu, frilled neck menjadikan serangga sebagai diet utamanya seperti cengkerik dan superworm. Namun, bagi menjaga kesihatannya ia memerlukan makanan tambahan iaitu serbuk kalsium yang dicampurkan bersama menu utama.

Pemilik perlu memastikan tangki simpanan cicak frilled neck dilengkapi dengan lampu ultra ungu (UVB) untuk memberi vitamin D3 kepada reptilia itu.

Dari segi suhu, cicak frilled neck memerlukan 55 hingga 65 kelembapan. Bagi memastikan keadaan lembap yang baik di dalam tangki, pemilik boleh menyembur titisan air beberapa kali sehari.

NICHOLAS mempunyai cicak frilled neck sejak 2018.
NICHOLAS mempunyai cicak frilled neck sejak 2018.

Portal itu menyebut, cicak frilled neck juga memerlukan suhu ideal 46 darjah Celcius. Justeru, pemilik perlu memastikan keadaan suhu yang sesuai di dalam tangki simpanan.

Bagi peminat cicak frilled neck tempatan, Nicholas Yeap Fook Wai, 26, dia memiliki haiwan kesayangan itu sejak 2018 dan kini mempunyai lima ekor haiwan berkenaan.

Katanya, dia membeli cicak frilled neck pertama yang dinamakan Astrid pada harga RM620 yang ketika itu berusia sekitar enam bulan.

Selepas memiliki Astrid, pada 2020 dia membeli cicak frilled neck kedua yang dinamakan sebagai Atlas. Kemudian tiga lagi adalah pemberian rakannya yang dinamakan sebagai Edna, Gadriel dan Eris.

"Astrid dan Astlas adalah jantan. Tiga lagi adalah betina. Buat masa ini saya tidak bercadang untuk membiakkan haiwan kesayangan ini.

"Penjagaan semua cicak frilled neck yang dimiliki saya ini tidaklah begitu sukar kerana saya perlu memastikan diet, suhu dan persekitaran hidup yang baik untuk mereka," katanya.

Nicholas berkata, sebelum memiliki cicak frilled neck, dia perlu membuat kajian bagi memastikan haiwan berkenaan mampu mempunyai jangka hayat yang baik.

Jelasnya, haiwan itu tidak boleh berada di dalam keadaan tertekan kerana ia akan menjadikan warnanya lebih gelap yang menunjukkan tahap kesihatan yang tidak baik.

MEMPUNYAI corak dan bentuk unik menjadi tarikan peminat haiwan kesayangan eksotik.
MEMPUNYAI corak dan bentuk unik menjadi tarikan peminat haiwan kesayangan eksotik.

"Keunikan haiwan ini adalah di lehernya yang mengembang apabila terasa terancam. Apabila dalam keadaan itu, ia akan nampak seperti garang tetapi sebenarnya apabila kita lebih berani daripadanya, cicak frilled neck ini akan lari.

"Selain itu, menjaganya juga tidak memerlukan ruang yang besar kerana semua cicak frilled neck milik saya disimpan di dalam tangki. Jadi, ia boleh dijadikan salah satu hiasan dalaman kediaman yang menarik," katanya.

Dari segi penjagaan, Nicholas berkata, setiap enam bulan lampu UVB perlu ditukar kerana fungsi lampu itu mampu memberi suhu yang sesuai dengan haiwan kesayangannya.

"Tangki juga tidak perlu setiap hari dibersihkan. Cukup seminggu sekitar dua atau tiga kali sahaja kerana ia tidak mempunyai najis yang banyak dan berbau busuk.

"Cicak frilled neck adalah haiwan yang gemar berpaut pada pokok, jadi di dalam tangki saya ada sediakan rimbunan pokok mini untuk haiwan kesayangan saya ini 'melepak," katanya.

Tambahan, dari segi makanan, Nicholas memberikan sehingga lapan ekor serangga seperti cengkerik setiap hari dan kadang-kala dicampurkan dengan serbuk kalsium untuk menjaga kesihatan reptilia itu.

"Dari segi kelakuan, cicak frilled neck bukanlah sejenis haiwan yang menyerang manusia kerana dari segi rupa mungkin nampak garang tetapi apabila sudah mengenali pemilik dia akan manja dengan kita.

"Cuma, ketika cicak frilled neck lapar perlu berhati-hati jika ingin menyuapnya kerana haiwan itu menyangkakan jari atau tangan kita adalah serangga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 7:01 AM