TANUKI miliki suara seperti kucing, spesies Nyctereutes viverrinu seakan rubah namun manja.
TANUKI miliki suara seperti kucing, spesies Nyctereutes viverrinu seakan rubah namun manja.
Muhamaad Razis Ismail


Memiliki wajah bengis, gigi taring dan kuku tajam, pasti ramai gerun untuk mendekati haiwan yang digelar sebagai tanuki ini.

Hakikatnya spesies Nyctereutes viverrinu ini yang menyerupai rubah dan musang ini jinak serta manja apabila didukung dan dibelai.

Malah, tanuki mempunyai suara seperti kucing namun lebih perlahan dan halus.

Perkara ini diakui pemiliknya, Mohd Redzuan Abdullah, 40, yang mula memelihara dua tanuki di kediamannya di Balik Pulau, Pulau Pinang sejak dua bulan lalu.

Salah seekor daripada dua tanuki yang dipelihara

adalah albino kerana memiliki bulu berwarna putih berbanding bulu asalnya berwarna hitam dan coklat.

Menariknya, tanuki yang masing-masing berusia setahun itu dinamakan sebagai Nobita (jantan) dan Shizuka (betina) sempena habitat asal haiwan itu yang berasal dari Jepun.

Katanya, di habitat asalnya haiwan ini akan menggunakan gigi taring dan kukunya yang tajam untuk melindungi dirinya apabila berasa terancam.

MOHD Redzuan sering meluangkan masa dengan Nobita.
MOHD Redzuan sering meluangkan masa dengan Nobita.

"Sebaliknya, tanuki yang dijadikan haiwan peliharaan akan menjadi jinak dan manja seperti kucing."

Untuk menjinakkan haiwan termasuk tanuki, biasanya saya akan umpan dengan makanan dan fahami karakter.

Apabila haiwan sudah berasa selesa, ia akan menjadi jinak dan mudah dijaga.

"Kebiasaannya tanuki jantan lebih mudah untuk dijinakkan berbanding yang betina. Kini saya dalam proses suai kenal dengan Shizuka yang akan mengambil sedikit masa berbanding Nobita yang sudah boleh dibelai," katanya.

Menurutnya, biarpun berasal dari Jepun, tanuki dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di negara ini.

"Bulu asal tanuki yang tebal akan gugur, sebelum bulu baru tumbuh untuk disesuaikan dengan cuaca yang panas di negara ini.

"Biarpun begitu, saya tempatkan tanuki di kandang di luar rumah untuk pengaliran udara supaya dapat memberi lebih keselesaan kepada haiwan ini," katanya.

Katanya, penjagaan tanuki sangat mudah dan tidak membabitkan kos yang tinggi.

"Setiap hari, Nobita dan Shizuka akan diberikan makanan basah serta daging. Setiap dua kali sehari, tanuki dimandikan supaya sentiasa bersih.

TANUKI dimandikan dua hari sekali.
TANUKI dimandikan dua hari sekali.

"Satu perkara yang menarik, tanuki suka berendam di dalam bekas minumannya untuk menyejukkan badan," katanya.

Tambahnya, seperti di habitat asalnya, tanuki aktif bergerak pada sebelah malam.

"Pada pada sebelah siang, tanuki dilihat banyak berehat dan tidur di dalam kandang.

"Bagaimanapun, saya suka bawa keluar dari kandang pada sebelah siang untuknya biasakan dengan persekitaran baharu," katanya.

Jelasnya, biarpun memiliki kuku yang panjang dan tajam, tanuki peliharaannya tidak memanjat.

"Apabila diletakkan di atas meja, tanuki akan berada di tempat yang sama. Ia tidak akan melompat dan memanjat.

"Malah tangga perlu disediakan untuk haiwan ini turun," katanya.

Mohd Redzuan berkata, haiwan unik ini masih baharu di negara ini dan masih ramai belum mengenali sepenuhnya.

"Oleh itu, saya aktif berkongsi maklumat berkenaan haiwan ini di media sosial untuk memberi kesedaran bagi yang berminat untuk menjadikannya sebagai haiwan peliharaan

"Sesiapa yang ingin melihat dengan dekat, boleh datang ke kediaman secara percuma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 7:00 AM