KENAKALAN musang menarik perhatian Nurul Hafizah.
KENAKALAN musang menarik perhatian Nurul Hafizah.
Muhamaad Razis Ismail


MUSANG ialah sejenis mamalia omnivor yang hidup secara liar dan sangat aktif pada sebelah malam.

Haiwan yang suka memanjat, menggigit dan sering bergerak ini amat menggemari buah-buahan serta ayam.

Jadi tidak hairanlah, haiwan ini sering dianggap sebagai musuh utama kepada penternak ayam terutama yang tinggal di kawasan perkampungan.

Di negara ini, hanya musang pandan yang dibenarkan dipelihara dengan syarat perlu memiliki lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

Malah aktiviti jual beli juga tidak dibenarkan sama sekali dan pemilik haiwan perlu memohon lesen memburu, memasukkan mikrocip ke dalam badan (musang) dan lesen membela haiwan ini.

Karakter semula jadi musang pandan yang sangat aktif dan sukar diduga menyebabkan amat sukar menemui individu memelihara haiwan ini.

Namun berbeza dengan Nurul Hafizah Abdullah Teng, 51, yang memelihara dua musang pandan di kediamannya di Cheras sejak tujuh tahun lalu.

NURUL Hafizah bersama musang yang dipelihara.
NURUL Hafizah bersama musang yang dipelihara.

Lebih unik, haiwan yang dinamakan sebagai Benben dan Lola itu ditempatkan di sebuah bilik khas supaya ia lebih mudah bergerak serta memanjat.

Ibu kepada dua anak ini berkata, pada mulanya, dia meminati memelihara musang kerana tertarik dengan kecomelannya namun agak berbelah bahagi kerana ia berbeza dengan haiwan peliharaan lain.

Katanya, biarpun penjagaannya lebih mudah namun komitmen sepanjang hayat daripada pemiliknya amat diperlukan selain ia tidak mudah untuk dijinakkan.

"Ketika bercuti di Bandung, Indonesia saya berpeluang membelai musang yang sangat jinak dan dari situ timbul keyakinan untuk memelihara haiwan ini.

"Pada 2014, secara kebetulan, seorang rakan terjumpa anak musang jantan di ladang kelapa sawit dan menawarkan kepada saya.

"Saya kemudian terus mendapatkan lesen memburu, memasukkan mikrocip di dalam badan dan lesen membela di Perhilitan," katanya.

Menurutnya, setahun kemudian, dia membela seekor lagi musang pandan betina yang dinamakan Lola selepas pemilik asal enggan memelihara haiwan itu.

ANAK musang perlu disusukan.
ANAK musang perlu disusukan.

"Karakter Lola lebih garang berbanding Benben, mungkin kerana pada ketika itu, ia sudah besar dan saya ambil masa selama dua bulan untuk jinakkannya.

"Perlu diingat, musang adalah haiwan yang setia kepada tuannya dan apabila diberikan kepada pemilik baru ia mengambil masa untuk dijinakkan. Sekiranya dilepaskan ke hutan mungkin ia tidak mampu hidup lama," katanya.

Katanya, sepanjang memelihara musang pandan, haiwan terbabit tidak pernah sakit dan mudah dijaga.

"Dua kali sehari saya akan bersihkan bilik daripada najis dan kencingnya supaya mereka tidak dijangkiti penyakit.

"Saya berikan buah-buahan, ayam (kepala, leher, kaki) dan biskut kucing dua kali sehari. Setiap bulan saya peruntukkan sekitar RM200 untuk makanan," katanya.

Jelasnya, ramai yang tidak tahu bahawa 'mood' musang pandan ini sukar diduga dan pemiliknya perlu sentiasa berjaga-jaga.

"Biarpun begitu, saya suka melihat telatah mereka yang aktif, nakal dan suka memanjat sesuai dengan karakter semula jadinya di hutan.

"Ia sukar dibelai dan tidak manja seperti kucing. Oleh itu dinasihatkan kepada sesiapa yang berhasrat memelihara musang, perlu membuat kajian mendalam mengenai haiwan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:19 AM