KEUNIKAN warna dan pola menjadi perhatian peminatnya.
KEUNIKAN warna dan pola menjadi perhatian peminatnya.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


MESKIPUN mempunyai jangka hayat purata hanya lima tahun, haiwan peliharaan yang tampak ganas, tetapi comel ini sebenarnya ada peminatnya tersendiri.

'Landak mini' yang dikenali sebagai African Pygmy Hedgehog (hedgehog) atau nama saintifiknya Atelerix albiventris adalah mamalia yang biasa didapati hidup di Afrika Timur dan Afrika Tengah.

Menurut portal The Spruce Pets, kebanyakan haiwan kesayangan yang dikenali sebagai hedgehog itu sebenarnya hibrid antara dua spesies iaitu four-toed dan hedgehog Algeria.

Kebiasaannya, haiwan yang hidup di bawah tanah mudah ditemui di beberapa negara seperti Gambia, Mozambique dan Somalia.

Malah, portal itu turut memaklumkan bahawa dalam habitat asalnya, haiwan itu menjadikan serangga, siput dan labah-labah sebagai makanan.

Bagi peminat hedgehog tempatan, Aida Syahira Rozman, 30, yang memiliki 12 haiwan comel itu sejak enam tahun lalu, haiwan kesayangan berkenaan mudah untuk dijaga dan mempunyai sifat yang aktif terutama pada sebelah malam.

Katanya, semua hedgehog miliknya diberikan nama panggilan tersendiri dan dia juga mempunyai pelbagai jenis baka yang menonjolkan warna serta corak yang berbeza.

HEDGEHOG juga perlu dimandikan menggunakan syampu yang tidak mengeringkan kulit.
HEDGEHOG juga perlu dimandikan menggunakan syampu yang tidak mengeringkan kulit.

Jelasnya, haiwan itu tidak memerlukan lesen untuk dipelihara kerana ia bukan spesies hidupan liar yang memerlukan permit dan mempunyai sifat hampir sama dengan hamster.

"Harga hedgehog ini tertakluk kepada keunikan rupa, corak dan warnanya. Lebih unik dan cantik, ia lebih mahal. Biasanya di pasaran boleh dibeli pada harga sekitar RM200 seekor.

"Semua hedgehog mempunyai wajah yang berbeza seperti klasik, bertompok, 'split', 'blaze,' 'eye liner' dan 'badger stripes'," katanya.

Katanya, bagi pengemar haiwan itu tentunya lebih peka dari segi jenis corak iaitu 'pinto', 'reverse pinto', 'snowflake' dan 'white'.

Tambahnya, dari segi diet hedgehognya diberi makanan palet kucing, serangga, telur rebus, ayam rebus, buah-buahan dan sayur.

"Memberi palet makanan kucing sesuai untuk hedgehog kerana ia mempunyai diet hampir sama yang diperlukan haiwan kesayangan ini.

"Selain itu, menariknya hedgehog kerana haiwan ini boleh dilatih untuk menggunakan tandas yang disediakan dalam ruang simpanannya," katanya.

HEDGEHOG sesuai untuk tinggal bersama ketika mengawan atau mempunyai anak.
HEDGEHOG sesuai untuk tinggal bersama ketika mengawan atau mempunyai anak.

Aida Syahira berkata, memelihara hedgehog tidak begitu sukar kerana haiwan itu jinak dan begitu aktif pada sebelah malam.

"Pada sebelah siang biasanya, hedgehog lebih gemar tidur. Ketika waktu tidur, saya tidak akan mengganggunya kerana ia boleh menyebabkan emosi hedgehog terganggu.

"Selain itu, hedgehog juga gemarkan permainan yang hampir sama seperti hamster iaitu 'wheels' yang boleh menjadikannya lebih aktif bergerak," katanya.

Jelasnya, hedgehog miliknya juga sudah beberapa kali melahirkan anak dan si ibu biasanya bunting antara 30 hingga 46 hari.

"Sebenarnya haiwan ini tidak suka berkongsi tempat dan saya mengambil langkah untuk mengasingkannya. Melainkan hanya ketika waktu mengawan atau memiliki anak.

"Walaupun durinya kelihatan seperti tajam, tetapi sebenarnya tidak ganas, malah ia tidak mencederakan kepada mereka yang memegangnya," katanya.

Uniknya hedgehog antara haiwan yang manja dan dapat mengenali pemiliknya sekiranya kerap diberikan perhatian serta tidak menggangu emosinya ketika waktu tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:00 AM