KEBANYAKAN pemilik memotong pendek bulu arnab untuk memberi keselesaan.
KEBANYAKAN pemilik memotong pendek bulu arnab untuk memberi keselesaan.
Muhamaad Razis Ismail


ARNAB Angora mempunyai keunikan tersendiri kerana memiliki bulu panjang, kembang dan lembut sehingga boleh menutup wajah serta badannya seperti bola berbulu.

Selain itu, arnab spesies ini antara yang menjadi pilihan dalam kalangan peminatnya kerana mempunyai karakter yang manja, jinak dan suka didandan.

Jadi, tidak hairan ada dalam kalangan peminat haiwan ini sanggup mengeluarkan belanja tinggi mengimport baka arnab Angora berkualiti dari Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, untuk memelihara arnab Angora di negara ini, seseorang itu perlu membuat kajian mendalam dan membuat persediaan rapi berikutan suhu berbeza.

Pembiak arnab Angora, Alex Ong berkata, apabila mengimport baka arnab ini dari Amerika Syarikat untuk dipelihara di negara ini, dia perlu menyediakan sebuah bilik khas yang diubah suai untuk menempatkan suhu bersesuaian dengan habitat asalnya.

"Bulu arnab yang tebal dan panjang boleh menyebabkan haiwan ini tidak selesa dengan cuaca panas di negara ini. Keadaan ini boleh menyebabkan arnab hilang selera makan.

"Oleh itu, saya menetapkan suhu penyaman udara antara 15 hingga 20 darjah Celsius dan penapis udara untuk keselesaan arnab itu.

ARNAB Angora memiliki bulu panjang dan tebal perlu ditempatkan dalam bilik dengan suhu bersesuaian.
ARNAB Angora memiliki bulu panjang dan tebal perlu ditempatkan dalam bilik dengan suhu bersesuaian.

DANDANAN perlu dilakukan untuk memberi keselesaan kepada arnab.
DANDANAN perlu dilakukan untuk memberi keselesaan kepada arnab.

"Pada masa sama, bilik turut diubah suai dengan menutup segala ruang di tingkap untuk mengelakkan suhu panas di luar masuk dalam bilik," katanya.

Menurutnya, dia mengambil masa dua tahun untuk membiakkan arnab Angora yang dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di negara ini.

Jelasnya, apabila jumlah arnab semakin bertambah, dia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat haiwan itu di dalam negara.

"Saya turut mengeksport arnab ini ke luar negara terutama di sekitar Asia termasuk China, Thailand dan Hong Kong," katanya.

Alex berkata, kini dia mempunyai dua bilik menempatkan arnab Angora peliharaannya untuk pembiakan dan pameran.

"Kedua-dua bilik itu dilengkapi dengan empat item penting iaitu kipas, pelembap, penyaman udara dan penapis udara.

"Semua item ini membantu mengawal suhu, kelembapan dan kualiti udara dalam bilik itu yang amat penting untuk menjaga persekitaran yang sihat dan selesa bagi arnab itu," katanya.

ALEX bersama arnab Angora miliknya.
ALEX bersama arnab Angora miliknya.

Mengulas lanjut, suhu dalam bilik pembiakan Angora dijaga antara 20 hingga 25 darjah Celsius untuk memastikan arnab selesa, sekali gus membolehkan proses pembiakan berjalan dengan baik.

"Manakala suhu dalam bilik arnab untuk pameran dijaga antara 15 hingga 20 darjah Celsius untuk memastikan ia cukup sejuk bagi arnab berbulu panjang, sekali gus mengelakkan ia menanggalkan bulu.

"Mengawal suhu dalam kedua-dua bilik ini adalah penting untuk memberikan persekitaran yang paling selesa dan sesuai kepada arnab," katanya.

Alex berkata, ada peminat arnab Angora yang memotong pendek bulu haiwan terbabit untuk memudahkan penjagaan dan memberi keselesaan kepada haiwan itu.

"Untuk itu, pemiliknya perlu rajin membuat proses dandanan dengan kekerapan seminggu sekali dapat merapikan dan memendekkan bulu arnab yang tumbuh dengan cepat.

"Biasanya arnab Angora baka tempatan yang sudah dapat menyesuaikan dengan cuaca di negara ini, suhu penyaman udara boleh digunakan sekitar 25 hingga 26 darjah Celcius pada sebelah siang.

"Pada sebelah malam, penggunaan kipas sudah memadai," katanya yang pernah memenangi beberapa pertandingan arnab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 6:48 AM