KUCING juga perlu divaksin dengan vaksin rabies.
KUCING juga perlu divaksin dengan vaksin rabies.
Nurul Husna Mahmud


DI seluruh dunia, gigitan kucing menyumbang dua hingga 50 peratus daripada kecederaan yang berkaitan dengan insiden gigitan haiwan.

Kebiasaannya, gigitan akibat serangan kucing kedua tertinggi selepas gigitan anjing dalam kategori insiden serangan haiwan.

Di Itali sebagai contoh, insiden kecederaan yang berkaitan kucing adalah 18 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Manakala di Amerika Syarikat pula, dianggarkan 400,000 gigitan kucing dan 66,000 lawatan ke jabatan kecemasan hospital setiap tahun.

Siapa yang paling berisiko? Orang dewasa perempuan mempunyai kadar kes gigitan kucing paling tinggi.

Rawatan untuk kes gigitan kucing bergantung pada bahagian tubuh yang terkena gigitan dan status vaksinasi rabies spesies haiwan yang menyebabkan gigitan.

Perlu diketahui bagi setiap pemilik haiwan peliharaan, mulut haiwan mempunyai bakteria yang boleh mendatangkan jangkitan kuman terutama membabitkan gigitan yang besar dan pesakit mempunyai penyakit lain seperti kencing manis berisiko mengalami komplikasi lebih serius.

Berikut adalah langkah penting dalam mengendali mangsa yang mengalami serangan gigitan kucing:

1.Segera mendapatkan rawatan awal

Elak bertangguh mendapatkan rawatan, sebaliknya temui doktor segera. Langkah awal boleh dilakukan mangsa sebaik mengalami serangan adalah cuci luka dengan sabun dan air bersih.

2. Mangsa serangan akan diberi rawatan termasuk pembersihan luka antibiotik profilaksis untuk mengurangkan risiko jangkitan

Antara antibiotik yang biasa diberikan bagi gigitan haiwan adalah Amoxycillin. Bagi mereka yang mengalami alahan kepada antibiotik dari jenis Penicillin. Antibiotik seperti Azithromycin akan diberikan.

3. Rawatan rabies selepas gigitan bergantung kepada status vaksinasi haiwan

Di Malaysia anjing satu-satunya haiwan yang boleh membawa penyakit ini. Haiwan mamalia selain anjing tidak boleh membawa penyakit ini kerana menjadi hos (perumah) akhir sahaja.

Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mempunyai risiko rendah bagi penyakit rabies oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) disebabkan kitaran penyakit rabies adalah secara 'urban cycle' dan hanya anjing sebagai vektor.

Negara lain seperti Afrika dan Amerika Utara pula dikategorikan sebagai negara berisiko tinggi dan sederhana untuk penyakit rabies kerana selain mempunyai 'urban cycle,' negara itu juga mempunyai 'sylvatic cycle.'

Bermakna haiwan liar seperti kelawar, musang dan rakun boleh menularkan penyakit ini sehingga kawalan penyakit rabies menjadi sukar.

4. Pemberian vaksin tetanus jika seseorang individu belum diberi vaksin secukupnya

Penerima imunisasi tetanus yang lengkap dan melebihi dari lima tahun, suntikan tetanus booster perlu diberikan.

Sementara untuk individu yang tidak pernah mendapatkan suntikan imunisasi tetanus atau status imunisasi tetanus yang tidak jelas sejarah pengambilannya, mereka akan diberikan suntikan tetanus mengikut jadual imunisasi ditetapkan.

Kesedaran masyarakat cukup penting dalam memahami risiko gigitan kucing. Ini membantu kepada pencegahan komplikasi daripada serangan haiwan itu.

Justeru, pemilik haiwan bulus itu perlu menjalankan vaksinasi kucing terhadap rabies bagi mengelak penularan rabies dalam populasi haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 6:45 AM