NORAINI dan suami bersama  Bailey.
NORAINI dan suami bersama Bailey.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KE mana sahaja Bailey pergi, ia sentiasa menjadi perhatian ramai.

Ada yang ingin mendukungnya dan tidak kurang juga ramai yang ingin bergambar kenangan bersamanya.

Bak selebriti, penampilan Bailey di setiap pameran atau pertandingan kucing juga turut mencuri perhatian ramai.

Apa tidaknya, kucing baka kampung berbulu panjang (Domestic Longhair) itu memiliki saiz badan dan berat yang lebih berbanding kucing biasa.

Dengan berat hampir 13 kilogram (kg) Bailey sememangnya 'comel' dan ia juga manja dengan orang ramai.

Pemiliknya, Noraini Yai, 43 berkata, kucing jantan kesayangannya itu sudah berusia tujuh tahun lebih.

Katanya, dek kerana bulu Bailey yang panjang dan berbadan besar, dia mengambil masa hampir tiga jam untuk memandikan serta menyiapkannya.

"Selain syampu, bulunya juga perlu 'diblow dry.'

SAIZ Bailey menjadikan ia tumpuan ramai.
SAIZ Bailey menjadikan ia tumpuan ramai.

"Ia bagi menjaga kecantikan bulunya yang panjang daripada menjadi kusut.

"Mujurlah suami, Saudi Ismail, juga peminat kucing dan tidak kekok untuk membantu, jadi lebih mudah untuk memandikan dan 'grooming' Bailey," katanya ketika ditemui pada pameran kucing sempena Pets Fiesta anjuran Kelab Kucing Malaysia (KKM) di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Noraini, meskipun Bailey lebih besar berbanding kucing biasa namun dia tidak menggalakkan mana-mana pemilik untuk sengaja 'menggemukkan' kucing peliharaan mereka.

Ini kerana kata Noraini, tidak semua kucing boleh menampung saiz berat badan berlebihan.

Katanya, dia sendiri tidak memberi sebarang makanan tambahan untuk menaikkan berat badan Bailey tetapi kucing itu membesar secara semula jadi kerana suka makan.

MANJA dan mudah berkawan.
MANJA dan mudah berkawan.

Berat Bailey sebelum ini melebihi 13 kg tetapi disebabkan Noraini mula menjaga kuantiti pengambilan makanannya, beratnya semakin berkurangan.

"Selain Bailey, saya ada 16 ekor lagi kucing di rumah dan semuanya dibiarkan bebas.

"Makanan dan air juga disediakan 'free flow' jadi Bailey memang akan makan tidak kira waktu.

"Namun sekarang pemakanannya perlu dijaga kerana tidak mahu ia terus membesar dan syukur beratnya kini sudah semakin berkurangan," katanya.

Dalam pada itu, meskipun agak gemuk namun Bailey tetap aktif dan boleh berlari seperti kucing biasa.

Kata Noraini, Bailey juga manja dan suka berkawan dengan kucing peliharaannya yang lain.

Bagaimanapun, dia mengakui mudah menjaga Bailey kerana ia berasal dari baka kucing kampung dan jarang mendapat jangkitan penyakit.

"Begitupun, saya dan suami tidak culas bab penjagaan kesihatan, semua kucing peliharaan kami termasuk Bailey sudah lengkap divaksin serta dimandulkan.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang bermesra dengan kucing yang dipamer dan dipertandingkan sempena Pets Fiesta anjuran KKM di Shah Alam, baru-baru ini.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang bermesra dengan kucing yang dipamer dan dipertandingkan sempena Pets Fiesta anjuran KKM di Shah Alam, baru-baru ini.

"Selain itu, kucing peliharaan juga diberi minyak ikan salmon dan minyak Cod Liver untuk menjaga kesihatannya.

"Kucing-kucing itulah tempat saya dan suami bermanja kerana anak-anak sudah besar," katanya.

Dalam pada itu, kehadiran kucing baka yang sama milik seorang guru, Norlita Yaakop, 47, juga mencuri perhatian ramai.

Seperti Bailey, kucing jantan yang diberi nama Bubble itu juga memiliki bulu yang panjang dan cantik.

Dengan saiz badan yang besar, Bubble sememangnya mempunyai ramai peminat di setiap pameran dan pertandingan yang disertai.

Menurut Norlita, Bubble sudah berusia lapan tahun dan kerap menyertai pameran serta pertandingan kucing cantik kategori kucing rumah atau kucing kampung.

"Bubble memang manja dan suka bermain. Walaupun dikerumuni ramai, ia kekal tenang kerana sudah biasa.

"Seperti peminat kucing lain, saya juga memelihara pelbagai jenis baka kucing di rumah dan semuanya boleh bercampur elok dengan Bubble, " katanya.

Sementara itu, Presiden KKM, Khalid Rashid berkata, penganjuran Pets Fiesta itu antara aktiviti kelab berkenaan bagi memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga dan menyayangi haiwan.

Katanya, program itu diadakan secara santai dan pengisiannya juga sesuai untuk seisi keluarga.

"Selain mengumpulkan peminat haiwan seluruh Lembah Klang, program ini juga dapat memupuk kesedaran masyarakat khususnya golongan muda mengenai kebajikan haiwan kesayangan.

"Di pihak KKM, kami sentiasa komited untuk memberi didikan kepada orang ramai kerana seperti mana manusia dan tumbuhan, haiwan juga berhak mendapat perlindungan sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 6:31 AM