INDUK puyuh ikta jadi pilihan kerana sesuai untuk pasaran daging atau telur mahupun induk.
INDUK puyuh ikta jadi pilihan kerana sesuai untuk pasaran daging atau telur mahupun induk.
Nurul Husna Mahmud


Isu kekurangan bekalan ayam menjadi polemik terutama ketika musim perayaan baru-baru ini sehingga mengundang kenaikan harga yang mencanak.

Justeru, alternatif pilihan kepada peminat hidangan itu ialah melihat sumber lain seperti puyuh yang dikatakan mirip kepada sumber baik tekstur dan rasa.

Mengenai puyuh, penternakan unggas berkenaan bukanlah sesuatu baharu malah meluas membabitkan beberapa produk penghasilan iaitu daripada peringkat daging sehinggalah kepada penjualan najis untuk baja.

Menurut Penyelia Reban Penternakan Sumber Unggas Hutan Melintang, Perak, Muhammad Suhail Mohd Ali, penternakan puyuh boleh menjana pendapatan menguntungkan kerana boleh pelbagaikan variasi produk untuk pasaran.

"Sektor penternakan puyuh ini sudah lama dijalankan di Malaysia, tetapi berbanding ayam, permintaan puyuh dalam pasaran daging domestik tidak meluas.

"Namun, dalam prospek industri, penternakan puyuh sendiri memiliki potensi yang baik apabila produk boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu penjualan daging, penjualan telur, penjualan anak puyuh dan penjualan najis bagi kegunaan pembuatan baja pertanian (baja kompos)," katanya.

TELUR puyuh dikutip bagi tujuan penetasan.
TELUR puyuh dikutip bagi tujuan penetasan.

Menyentuh kepada pilihan baka yang digunakan, kata Muhammad Suhail, baka ikta iaitu puyuh baka hibrid menjadi pilihan kerana sesuai untuk pasaran daging dan telur.

"Kelebihan baka ini adalah memenuhi permintaan pasaran industri ternakan puyuh.

"Baka ini boleh dijadikan sebagai puyuh pedaging dan juga boleh dijadikan sebagai puyuh penelur ataupun induk (bagi betina).

"Kadar 'tumbesaran' puyuh ikta mengambil masa antara 21 hingga 28 hari untuk mendapat saiz yang sesuai sebelum dijual. Kebiasaan berat matang sedia untuk dijual adalah sekitar 160 hingga 240 gram seekor," katanya.

PROSES pemilihan anak benih puyuh untuk dihantar kepada penternak.
PROSES pemilihan anak benih puyuh untuk dihantar kepada penternak.

Baka seekor induk boleh menghasilkan 240 hingga 280 ekor setahun.

Bagi tujuan industri telur, kata Muhammad Suhail, puyuh ikta akan mula bertelur seawal umur 42 hari.

"Kelebihan baka ini, ia mampu bertelur pada kadar 70 hingga 80 peratus hingga umur 12 bulan. Namun sekiranya puyuh dijadikan induk, telur yang 'berbenih' dan berkualiti dikeluarkan ketika puyuh betina berumur 60 hari dan ke atas.

"Anak puyuh akan terus dijual sebaik sahaja telur menetas (umur sehari). Hal ini kerana puyuh yang berumur sehari hari lebih kuat dan lasak berbanding puyuh yang sudah berumur dua hari ke atas.

"Puyuh yang baru menetas (sehari) boleh tahan 48 jam tanpa makan dan minum. Perkara ini amat penting kerana pengalaman kami sendiri yang memiliki pelanggan berada jauh dari lokasi kedai," katanya.

INKUBATOR membantu penetasan seragam dan terkawal.
INKUBATOR membantu penetasan seragam dan terkawal.

Bagi penternak yang berniat berjinak-jinak dalam penternakan puyuh, pihaknya menyarankan supaya memulakan ternakan secara berperingkat.

"Penternak puyuh kecil-kecilan biasanya mula menternak daripada kuantiti 200 hingga 500 ekor untuk satu pusingan atau semusim.

"Selepas beberapa pusingan bergantung kepada modal pusingan dan hasil jualan( daging atau telur), barulah mereka menambah jumlah puyuh kepada 1,000 hingga 5,000 ekor untuk setiap pusingan," katanya.

Risiko bagi penternak puyuh selain penyakit ialah serangan pemangsa seperti tikus, anjing, biawak, dan ular, malah kecurian juga antara cabaran dihadapi penternak kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 6:48 AM