PROSES memotong kuku kucing.
PROSES memotong kuku kucing.
Muhamaad Razis Ismail


PROSES mendandan atau 'grooming' haiwan antara aspek yang perlu dititik beratkan dalam penjagaan haiwan peliharaan.

Bukan setakat memandikan, mendandan turut membabitkan proses memotong kuku, memendekkan bulu yang tidak perlu, mencuci telinga dan mata, menyikat bulu dan banyak lagi.

Proses ini penting untuk memastikan haiwan peliharaan bukan sahaja dapat diubah penampilannya supaya nampak lebih bersih dan cantik malah memastikan kesihatannya terjamin.

Jadi tidak hairanlah, ada dalam kalangan pemilik sanggup mengeluarkan belanja yang besar supaya haiwan peliharaan kesayangan mereka menjalani proses ini.

Haiwan yang boleh didandan termasuk kucing, arnab, tikus belanda, landak

mini dan 'sugar glider' dengan kekerapan antara dua minggu sehingga sebulan sekali.

Pendandan Haiwan Profesional Bertauliah, Farahilani Dian Aqilah Zahari berkata, proses mendandan haiwan tidak semudah seperti yang disangka.

"Mungkin ramai yang boleh mandikan kucing tapi tidak mendandan. Ini adalah kerana mendandan mempunyai proses dan tahap yang harus diikuti.

PEMERIKSAAN awal dijalankan terhadap haiwan di hadapan pemilik sebelum proses mendandan dilaksanakan.
PEMERIKSAAN awal dijalankan terhadap haiwan di hadapan pemilik sebelum proses mendandan dilaksanakan.

"Selain itu, kita perlu memahami keadaan, mood dan perangai haiwan terlebih dahulu sebelum proses mendandan boleh dilakukan tanpa masalah dan untuk mengelak daripada diserang, digigit atau dijangkiti penyakit berjangkit dari haiwan peliharaan. Ada yang penakut, garang, tak duduk diam, hiperaktif, tidak sihat dan sebagainya.

"Oleh itu, pendandan perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menenangkan haiwan peliharaan bagi memastikan proses mendandan berjalan lancar," katanya.

Menurutnya, terdapat banyak elemen wajib di dalam proses mendandan termasuk memotong kuku, memendekkan bulu yang tidak perlu, mencuci telinga dan mata serta menyikat bulu kucing untuk membuang bulu bersimpul dan bulu yang mati.

"Selain itu, melalui proses ini kita boleh membuang minyak yang pada badan kucing, ekor, belakang telinga, bawah leher dan lain-lain.

"Kemudian proses memandikan haiwan dilakukan mengikut keperluan termasuk untuk 'penyelenggaraan,' rawatan atau yang menyertai pertandingan.

MEMANDIKAN kucing.
MEMANDIKAN kucing.

"Akhir sekali selepas proses perapian, bulu dilap dan dikeringkan menggunakan alat pengering khas untuk haiwan. Langkah terakhir, haiwan akan disolek, jika perlu," katanya.

Katanya, banyak manfaat yang diperoleh haiwan peliharaan yang menjalani proses mendandan.

"Selain menjadikan haiwan peliharaan lebih sihat dan bersih, ia juga dapat dijauhi daripada pelbagai penyakit kulit. Pada masa sama, dandanan berjadual dapat membantu haiwan memiliki kulit yang sihat dan bulu yang cantik berkilat.

"Proses ini dapat membantu pemilik mengenal pasti sama ada kucing mempunyai kutu atau kulat di beberapa bahagian badan.

"Melalui proses ini juga, hubungan pemilik dan haiwan dapat dieratkan," katanya.

Sebaliknya, haiwan yang tidak pernah melalui proses (dandanan) atau tidak mengikut jadual yang teratur berisiko berdepan pelbagai masalah kulit (kulat, kudis, kutu) dan bulu tidak cantik (kering, rapuh, suram serta gugur).

FARAHILANI tidak lokek berkongsi ilmu mendandan haiwan.
FARAHILANI tidak lokek berkongsi ilmu mendandan haiwan.

Farahilani berkata, kini ramai pencinta haiwan mula menyedari kepentingan mendandan haiwan peliharaan masing-masing terutama kucing.

"Ramai sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk memastikan haiwan peliharaan mereka menjalani proses mendandan. Malah perkhidmatan mendandan haiwan juga dilihat semakin bertambah berikutan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pemilik haiwan," katanya.

Pemilik Purrfection Catz Grooming Academy berkata, sebagai individu yang terbabit secara langsung dalam dunia haiwan peliharaan khususnya kucing, menjadi tanggungjawabnya untuk membantu mendidik orang ramai kepentingan mendandan haiwan dengan betul.

"Banyak perkara perlu dititik beratkan termasuk pemilihan produk yang tepat, penggunaan skil dan teknik bersesuaian mengikut keadaan serta mood kucing supaya haiwan tidak stres atau tercedera," katanya yang turut mempunyai kedai haiwan peliharaan dan akademi mendandan haiwan di Balakong, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 6:30 AM