BERSAMA arnab dan sebahagian hadiah yang dimenangi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERSAMA arnab dan sebahagian hadiah yang dimenangi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Muhamaad Razis Ismail


MELIHAT kelibat arnab jenis German Giant (GG) dan Flemish Giant (FG) milik Lim Chen Kong, 36, ini pasti membuatkan sesiapa sahaja ingin memeluknya.

Apa tidaknya, dengan saiznya yang besar dan berbulu lembut serta tebal, haiwan peliharaan dilihat tidak ubah seperti 'patung.'

Jadi tidak hairanlah, mengapa dua spesies arnab hiasan ini sering menjadi pilihan untuk dijadikan haiwan peliharaan sama ada di dalam mahupun luar negara.

Lim berkata, dia mula memelihara arnab hiasan sebagai hobi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini untuk mengisi masa lapang.

Katanya, bermula hanya beberapa arnab, kini dia memiliki lebih 200 membabitkan 11 spesies termasuk GG, FG, English spot, English Angora dan Dwarf Papillon yang dipelihara berhampiran kediaman di Ulu Tiram, Johor.

"Kebanyakan arnab ini diimport dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, Eropah dan Indonesia.

"Antara yang paling menarik perhatian ramai adalah GG dan FG kerana memiliki saiz yang besar yang boleh mencapai berat sehingga lapan kilogram berbanding arnab hiasan lain," katanya

Berdasarkan pemerhatiannya, kedua-dua spesies arnab ini mempunyai bentuk fizikal dan karakter yang berbeza.

FLEMISH Giant mampu mencecah berat sehingga lapan kilogram. FOTO Nur Aisyah Mazalan
FLEMISH Giant mampu mencecah berat sehingga lapan kilogram. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Dari segi fizikal, GG memiliki badan lebih tegap, telinga tinggi dan berwajah lebih garang. Berbeza dengan FG, ia mempunyai badan berbentuk seperti buah avokado, telinga lebih pendek dan wajah lebih lembut.

"Arnab jenis GG mempunyai karakter lebih aktif dan lebih suka bermain

berbanding FG. Bagaimanapun, FG memiliki imun yang lebih tinggi berbanding GG yang boleh mati secara tiba-tiba tanpa diketahui puncanya.

"Selain itu, FG mempunyai bulu lebih lebih lembut berbanding GG dan sesuai untuk menyertai pertandingan," katanya.

Jelasnya, oleh kerana GG dan FG berasal dari luar negara, arnab spesies ini memerlukan penjagaan rapi dan teliti.

"Induk arnab spesies ini yang dibawa masuk dari luar negara sukar untuk membiasakan diri dengan keadaan cuaca di negara ini. Oleh itu, kita perlu sentiasa pastikan suhu di sangkar sentiasa berada pada suhu yang sewajarnya.

PERBEZAAN saiz antara Flemish Giant dan Dutch. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PERBEZAAN saiz antara Flemish Giant dan Dutch. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Sekiranya hujan, saya akan pasang lampu untuk tingkatkan suhu manakala sekiranya panas, saya akan semburkan air untuk memberi keselesaan kepada arnab," katanya.

Selain itu pemakanan memainkan peranan penting bukan sahaja untuk tumbesaran malah untuk memastikan arnab sentiasa dalam keadaan sihat.

"Pemberian makanan tidak boleh terlalu dikawal apabila arnab boleh mula makan pada usia 22 hari sehingga usianya mencecah empat bulan supaya tumbesarannya tidak terganggu. Selepas empat bulan makanan boleh dikawal.

"Makanan yang boleh baik untuk arnab adalah makanan arnab dan rumput kering. Elakkan terlalu kerap memberi makanan yang mempunyai kandungan air yang tinggi seperti kangkung dan lobak kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan arnab," katanya.

Katanya, sekiranya arnab enggan makan, pemiliknya perlu mencari jalan supaya haiwan itu makan untuk terus hidup.

"Biasanya apabila haiwan ini berbuat demikian, berkemungkinan besar ia sedang berdepan masalah kesihatan termasuk kembung perut.

FLEMISH Giant antara arnab kesayangan Lim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
FLEMISH Giant antara arnab kesayangan Lim. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Arnab yang berdepan masalah kesihatan perlu dirawat segera. Saya akan ubat dan juga lepaskannya bergerak bebas di luar untuk mencari 'ubat' dari tumbuhan semula jadi kepada penyakit yang sedang dihadapi," katanya.

Mengulas lanjut, keseronokan memiliki arnab sebagai haiwan peliharaan boleh membuatkan peminatnya leka melihat telatahnya.

"Jika mempunyai masa terluang, saya boleh meluangkan masa dengan arnab selama beberapa jam sehari. Kadang kala jam 3 pagi baru saya balik ke rumah, itu pun masih teringatkan arnab.

"Biarpun arnab tidak aktif seperti kucing, namun ia tetap mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia dalam proses untuk menambah jumlah arnab sedia ada untuk memenuhi permintaan peminat haiwan itu.

"Pada masa sama, saya sedang dalam perancangan untuk membuka sebuah 'zoo' khas untuk menempatkan arnab ini sebagai antara lokasi tarikan pelancongan di Johor.

"Kini saya dapat proses untuk membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkaitan untuk merealisasikan perkara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 7:00 AM