MUHD Shahrul Fikri memberi makanan kepada kucing jalanan di Pantai Irama, Bachok. FOTO Hidayatidayu Razali.
MUHD Shahrul Fikri memberi makanan kepada kucing jalanan di Pantai Irama, Bachok. FOTO Hidayatidayu Razali.
Hidayatidayu Razali


Bachok: Mulianya hati seorang pemuda apabila hampir setiap hari dia akan meluangkan masa memberi makan kepada hampir 100 ekor kucing jalanan di Pantai Irama dekat sini.

Untuk memastikan kucing jalanan itu mendapat makanan yang mencukupi, pekerja binaan, Muhd Shahrul Fikri Shamsuri, 22, sanggup menggunakan wang gajinya lebih RM500 sebulan, selain turut mendapat bantuan makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Haiwan Kota Bharu.

Muhd Shahrul Fikri yang tinggal di Kampung Perupok berkata, setiap petang selepas balik dari kerja dia akan ke Pantai Irama untuk bersama kucing terbiar dan meluangkan masa kira-kira satu jam.

"Saya bekerja di Kota Bharu dan selepas pulang dari kerja saya akan terus datang untuk memberi makan kepada kucing di beberapa lokasi termasuk tepi pantai, pondok menunggu dan di bawah pokok.

"Lebih menggembirakan, kucing ini akan mengelilingi saya sebaik tiba, seolah-olah menyambut ketibaan saya," katanya ketika ditemui di Pantai Irama di sini.

MUHD Shahrul Fikri merawat kucing yang luka. FOTO Hidayatidayu Razali.
MUHD Shahrul Fikri merawat kucing yang luka. FOTO Hidayatidayu Razali.

Anak ketiga daripada enam adik beradik berkata, setiap hari dia akan menyediakan empat kilogram makanan kucing.

"Selain memberi makan, saya juga akan merawat kucing yang sakit termasuk memberi ubat. Jika kucing itu tidak dapat dirawat sendiri, saya akan membawanya berjumpa doktor haiwan.

"Biasanya saya akan keluarkan wang sendiri selain turut mendapat sumbangan daripada mereka yang berhati mulia.

"Saya bersyukur kerana dapat berbakti kepada haiwan terbiar ini walaupun ia satu sumbangan yang kecil sahaja memandangkan saya turut memelihara 15 ekor kucing di rumah," katanya yang membuat kerja amal itu lebih setahun lalu.

Menurutnya, kerja amal itu dilakukan secara ikhlas dan tidak mengharapkan balasan atau pujian orang ramai.

Dia berharap lebih ramai yang tampil untuk memberi makanan kucing memandangkan kawasan pantai tiada pengunjung ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 2:15 PM