Zuhainy Zulkiffli


Teluk Bahang: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang menerima sekurang-kurangnya 15 aduan berkaitan pengabaian dan penderaan haiwan di negeri ini dalam tempoh sebulan.

Kebanyakan aduan yang diterima membabitkan kucing serta anjing.

Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, jumlah itu menunjukkan perkembangan yang membimbangkan.

"Kebanyakan kes membabitkan haiwan yang ditinggal atau dibiarkan pemilik selain terdapat laporan haiwan peliharaan yang dicederakan dan kita bersama pegawai daripada bahagian penguatkuasaan akan turun padang melakukan siasatan sejurus menerima aduan.

"Orang ramai boleh membuat laporan kepada pihak veterinar supaya boleh diambil tindakan lanjut mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015(Akta 722)," katanya ketika Program Membantu Kucing Terbiar/Jalanan di Cat Beach Sanctuary, Jalan Teluk Awak, di sini, hari ini.

Program berkenaan adalah projek tanggungjawab sosial korporat antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri dengan Kelab Kucing Malaysia dan Persatuan Suara Animal Malaysia.

JABATAN Perkhidmatan Veterinar memberi suntikan vaksin kucing pada projek CSR membantu kucing terbiar jalanan. FOTO Mikail Ong
JABATAN Perkhidmatan Veterinar memberi suntikan vaksin kucing pada projek CSR membantu kucing terbiar jalanan. FOTO Mikail Ong

Saira Banu berkata, daripada lebih 300 kucing jalanan dan terbiar yang diselamatkan di tempat perlindungan itu, 100 daripadanya menerima tajaan suntikan vaksin bagi mencegah pelbagai penyakit seperti membabitkan pernafasan dan penyakit dalaman.

"Kita juga menyumbangkan ubatan lain bagi kesihatan kucing di sini, seperti ubat cacing, untuk kegunaan luka dan jangkitan pada kuku," katanya.

Sementara itu Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan bagi menaik taraf tempat perlindungan kucing itu.

"Di sini, haiwan berkenaan bukan sahaja diberi makan, tetapi kucing yang cedera atau sakit turut dirawat sehingga pulih.

"Justeru, kami memerlukan sangkar atau tempat perlindungan kucing yang lebih sesuai supaya lebih banyak kucing dapat diselamatkan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 1:32 PM