Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Gaya bersahaja seorang pemuda yang membawa dua haiwan peliharaannya kucing dan ayam kampung 'bersiar-siar' menunggang motosikal menarik perhatian sehingga tular di media sosial, baru-baru ini.

Muhammad Amir Mustapa, 29, berkata, sudah menjadi rutin harian pada setiap petang membawa haiwan peliharaan itu sebagai teman setia untuk menemaninya ke mana sahaja dia pergi.

Katanya, ada juga pengguna jalan raya yang menegur kerana bimbang keselamatan kucing sama ada terjatuh dan dilanggar kenderaan, namun tidak kurang juga yang merakam situasi berkenaan.

"Sebelum ini, saya hanya membawa kucing bersiar-siar menunggang motosikal selain turut membawa ayam peliharaan pada tahun lalu.

"Ketika saya meletakkan ayam di tempat duduk belakang sambil menunggang motosikal, haiwan ini tidak lari sebaliknya kekal di sisi sehinggalah saya memberhentikan motosikal.

"Pada hujung tahun lalu, saya pernah membawa kucing dan ayam menunggang motosikal bersama sehingga ke Dungun, Terengganu dan kedua-dua mereka terus kekal berada di tempat duduk belakang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherodok.

Anak kelapan daripada 11 beradik ini berkata, dia mempunyai lebih 400 kucing jalanan yang dipelihara sejak empat tahun lalu.

Semuanya ditempatkan di sebuah rumah di Kok Lanas, dekat sini, dan setiap dua atau tiga hari sekali dia akan berulang alik untuk memberi makanan kepada kucing peliharaannya.

"Kebanyakan kucing yang saya pelihara adalah kucing terbiar yang dikutip di jalanan dan sudah menganggap semua kucing peliharaan sebagai 'anak' selain sering menyertai pertandingan fesyen haiwan yang dianjurkan setiap tahun di negeri ini.

"Bagi memastikan kucing peliharaan berkeadaan baik, saya memperuntukkan RM1,000 untuk menyediakan makanan, rawatan, syampu mandian dan juga vitamin.

"Ada di antara kucing yang dipelihara dibawa bersiar-siar secara bergilir-gilir dengan menunggang motosikal dan kucing yang dibawa akan diletakkan di bahu atau di tempat duduk belakang sebagai pembonceng," katanya.

Muhammad Amir Mustapa membawa kucing dan ayam peliharaannya bersiar-siar dengan menunggang motosikal pada setiap petang. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Muhammad Amir Mustapa membawa kucing dan ayam peliharaannya bersiar-siar dengan menunggang motosikal pada setiap petang. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 2:08 PM