PROSEDUR menanam mikrocip dilaksanakan oleh doktor veterinar.
PROSEDUR menanam mikrocip dilaksanakan oleh doktor veterinar.
Nurul Husna Mahmud


SATU langkah diambil Jepun baru-baru ini apabila mewajibkan penjual kedai haiwan peliharaan di negara itu menanam mikrocip elektronik pada kucing dan anjing baru-baru ini.

Tujuan utama adalah memastikan pemilik dapat menemui haiwan berkenaan jika sesat, selain membantu memantau kebajikan dan pengurusan haiwan berkenaan.

Tambahan pula, jumlah kucing dan anjing yang hilang serta terbiar dilaporkan berjumlah 72,000 setiap tahun.

Cip berkenaan dapat mengatasi masalah itu apabila menyimpan maklumat penting antaranya nama penjual, nama haiwan, jantina, baka dan warna bulu.

Di Malaysia, langkah menanam mikrocip dalam badan haiwan peliharaan lebih kepada haiwan yang memerlukan lesen dan permit.

BURUNG menggunakan gelang khas.
BURUNG menggunakan gelang khas.

Menurut pengumpul haiwan eksotik, Muhammad Halim Zainal Abidin, 41, amalan itu lebih dikenali sebagai kaedah penandaan yang sudah lama dipraktikkan apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) mengenakan syarat kepada pemilik haiwan sebelum dibenarkan menyimpan haiwan berkenaan.

"Haiwan berlesen sebelum diberi kebenaran menyimpan perlu menjalani prosedur penandaan dengan salah satunya mengenakan cip pada haiwan terbabit.

"Tujuannya bagi membenteraskan kes penyeludupan haiwan yang mana apabila setiap haiwan dibawa masuk dan disimpan akan diimbas menggunakan mesin pengimbas.

"Jadi, maklumat berkait dengan haiwan itu tertera seperti mana perincian didaftarkan kepada Perhilitan.

"Jika terdapat pertindihan atau tidak dapat dibaca ada kemungkinan haiwan itu tidak didaftar secara sah,"katanya.

Muhammad Halim yang juga salah satu panel penandaan dilantik pihak Perhilitan berkata, untuk menanam mikrocip terdapat klinik haiwan tertentu menjalankan proses itu.

KUCING kesayangan menjadi pilihan untuk implan mikrocip bagi mencegah kehilangan.
KUCING kesayangan menjadi pilihan untuk implan mikrocip bagi mencegah kehilangan.

"Menanam mikrocip biasanya dilakukan doktor veterinar di klinik haiwan bagi memastikan peranti itu tidak menjejaskan kesihatan dan keselamatan haiwan.

"Haiwan kurang matang terutama mudah stres apabila ada benda asing dalam badan dan jika tidak ditangani boleh menyebabkan kematian.

"Penandaan selain kaedah menggunakan mikrocip adalah gelang (ring) penanda burung membabitkan spesies dilindungi antaranya tiung mas, bayan serindit dan banyak lagi. Ini adalah salah satu peranan atau perkhidmatan diberi saya kepada peminat unggas sejak lima tahun lalu," katanya.

Namun, beliau tidak menafikan ada segelintir pemilik haiwan peliharaan seperti pemilik kucing melakukan penandaan mikrocip kerana begitu menghargai haiwan peliharaan mereka.

"Bagi pemilik kucing mereka menanam mikrocip pada haiwan kesayangan bagi mengelak risiko kehilangan.

"Sekiranya haiwan kesayangan jenis tidak reti pulang dan gemar merayau, apabila berada di tangan individu lain, pemilik boleh menuntut kerana bukti maklumat pada mikrocip terbabit," katanya.

Biasanya bagi pemilik kucing, baka yang mahal atau kucing paling disayangi pemilik sering mendapatkan mikrocip sebagai pengenalan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 6:23 AM