KEVIN (kanan) melihat potensi Oyen mampu berkembang positif. - FOTO Aizuddin Saad
KEVIN (kanan) melihat potensi Oyen mampu berkembang positif. - FOTO Aizuddin Saad
Hafiz Ithnin dan Nurul Sabrina Jamali


"TAHUN lalu, kucing kesayangan saya dimasukkan ke wad dan kos yang perlu dibayar kira-kira RM2,000. Saya tidak dapat membayangkannya jika pemilik tidak mempunyai simpanan untuk menghantar haiwan kesayangan mereka mendapatkan rawatan.

"Kos rawatan untuk haiwan kesayangan bukan belanja yang sedikit. Jadi, insurans kesihatan untuk haiwan kesayangan dilihat begitu relevan," jelas pemilik kucing, Crystal Lim.

Seorang lagi pemilik kucing, Neesa Sodirman mengakui masalah kesihatan haiwan kesayangan sukar djangka. Kadangkala ia menjadi petanda bahawa keadaan haiwan peliharaan mereka sudah berada pada tahap serius.

"Saya mempunyai kucing sebagai haiwan kesayangan. Kadangkala haiwan berkenaan tidak menunjukkan gejala ringan masalah kesihatan seperti manusia yang mungkin demam terlebih dahulu.

"Bersandarkan pengalaman saya, kucing ini akan terus mengalami masalah kesihatan yang serius. Tambahan pula haiwan tidak boleh bercakap. Saya boleh katakan untuk sekali rawatan minimum boleh mencecah RM300. Perkara ini bukan lucu," katanya.

Dua kisah pemilik haiwan kesayangan ini memberi gambaran bahawa kos rawatan haiwan kesayangan mereka bukan sesuatu yang murah.

Bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan atau peruntukan khas untuk tujuan itu, sudah pasti menjadi satu bebanan.

Pemilik haiwan mana yang sanggup hanya membiarkan haiwan kesayangan mereka terus menderita kerana menghidap penyakit yang tidak diduga bukan?

Apatah lagi, isu tidak mampu memberi rawatan boleh memberi tekanan kepada si pemilik haiwan kesayangan berkenaan.

Menurut laporan firma kajian pasaran antarabangsa, Future Market Inside, saiz pasaran dunia bagi insurans haiwan kesayangan pada tahun lalu mencecah RM34.4 bilion (USD7.8 bilion).

Turut diunjurkan 11 peratus pertumbuhan pasaran insurans segmen berkenaan dari tahun ke tahun sehingga 2030.

Bersandarkan statistik itu, sekali gus memberi gambaran bahawa pemilik haiwan kesayangan semakin prihatin untuk memberi rawatan kepada haiwan peliharaan masing-masing.

NEESA bersama kucingnya. - FOTO Aizuddin Saad
NEESA bersama kucingnya. - FOTO Aizuddin Saad

CRYSTAL (kanan) berasakan tanpa simpanan atau peruntukan khas bagi kesihatan haiwan peliharaan akan membebankan pemilik. - FOTO Aizuddin Saad
CRYSTAL (kanan) berasakan tanpa simpanan atau peruntukan khas bagi kesihatan haiwan peliharaan akan membebankan pemilik. - FOTO Aizuddin Saad

Baru-baru ini, industri insurans Malaysia berkembang setapak lagi apabila Oyen Sdn Bhd (Oyen) iaitu platform insurans digital pertama yang menyediakan perlindungan insurans am seperti insurans haiwan peliharaan dan insurans perjalanan.

Sebagai penyedia insurans haiwan peliharaan digital terkemuka di Malaysia dengan platform yang menyeluruh dan lancar, Oyen turut dikenali dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan untuk perlindungan bil perubatan veterinar sehingga RM8,000 setahun serta proses tuntutan bayaran yang mudah dan bebas kerumitan.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Bersama Oyen, Kevin Hoong berkata, beliau mengasaskan Oyen ketika musim pandemik Covid-19 apabila mendapati bahawa pemilik haiwan peliharaan menghadapi cabaran untuk membayar bil perubatan haiwan mereka.

"Sebagai pemilik haiwan peliharaan, kami mahu pelanggan mendapatkan penjagaan terbaik untuk haiwan peliharaan mereka melalui perlindungan insurans haiwan peliharaan yang meluas dan menyediakan perkhidmatan tuntutan insurans dijalankan sebuah pasukan empati dan prihatin.

"Ditubuhkan pada 2021 melalui usaha sama dengan MSIG Insurance (Malaysia) Bhd, Oyen membantu pemilik haiwan peliharaan menguruskan perbelanjaan perubatan haiwan peliharaan, membolehkan mereka menjimatkan jumlah bil perubatan haiwan yang tinggi.

"Dengan jumlah RM100 juta perlindungan insurans yang disediakan, Oyen mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak enam kali ganda dari 2021 hingga tahun lalu," katanya.

Tambahnya, perlindungan insurans Oyen juga boleh digunakan di setiap klinik doktor haiwan di Malaysia. Sekali gus, memudahkan pelanggan mendapatkan bayaran semula bil mereka secara mudah melalui platform dalam taliannya.

Menjana lebih RM1.7 juta melalui pembiayaan dana bersama pelabur terkenal seperti Hustle Fund, terdapat potensi yang lebih ketara untuk pertumbuhan polisi insurans unik dengan elemen haiwan kesayangan bagi golongan Gen Z dan milenial yang memberikan tumpuan kepada haiwan kesayangan mereka.

Katanya, Oyen mengunjurkan untuk memastikan 50,000 haiwan peliharaan dilindungi di Malaysia dan 100,000 di Asia Tenggara menjelang 2025. Ketika ini, Oyen memberi tumpuan kepada haiwan kesayangan kucing dan anjing sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 6:46 AM