WAN Mohd Firdaus   bersama Kaka pada pertandingan Liga Kucing Pantai Timur.
WAN Mohd Firdaus bersama Kaka pada pertandingan Liga Kucing Pantai Timur.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Pepatah itu sesuai menggambarkan nasib peniaga, Wan Mohd Firdaus Wan Hussin, 35, yang berubah 180 darjah selepas memelihara kucing jantan daripada baka Bengal tiga tahun lalu sebelum haiwan itu mendatangkan tuah buat dirinya.

Mana tidaknya, kucing yang dinamakan Kaka itu sudah menjadi johan dalam sembilan kejohanan tempatan yang disertainya sejak 2015.

Wan Mohd Firdaus berkata, kucing yang dibeli daripada seorang pembiak baka di Tok Bali, Kelantan dengan harga RM3,000 itu seakan mendatangkan rezeki buatnya apabila sering menjadi juara dalam pertandingan disertai sebelum ini.

“Secara kebiasaan Kaka akan bertanding bagi kategori ‘bulu pendek‘ (Domestic Short Hair) dan tidak pernah mengecewakan keputusannya.

“Malah, Kaka juga pernah ke peringkat separuh akhir untuk pertandingan antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur, tahun lalu.

“Saya suka bela baka Bengal terutama yang jantan kerana ia aktif dan mesra apabila saya bermain dengannya,” katanya pada pertandingan liga kucing Pantai Timur yang dianjurkan di bandar ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memaklumkan kucing yang dimilikinya itu dikatakan tidak banyak dibela di Malaysia dan hanya mempunyai empat termasuk kepunyaannya.

Berbulu pendek selain campuran warna kuning keemasan menjadikan Kaka amat digemari penggemar kucing lain, malah Wan Mohd Firdaus menyatakan ada individu yang sanggup membeli kucingnya dengan harga RM10,000.

“Saya tak mahu jual kerana ia spesies yang jarang didapati lagipun saya ingin biak bakanya. Ia membawa tuah kepada saya selain mudah menjaganya,” katanya.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memaklumkan setiap pertandingan berkaitan kucing yang diketahuinya pasti tidak akan dilepaskan, malah dia sanggup mengupah individu sebagai ejen bagi mewakili dirinya untuk membawa kakak dan kucing lain bertanding di mana-mana kejohanan.

Selain Kaka, Wan Mohd Firdaus turut memiliki lapan kucing pelbagai baka antaranya Maine Coon, British Short Hair, Bengal dan Munchkin.

“Kebanyakan kucing saya dinamakan dengan nama pemain bola sepak seperti Ozil, Neymar selain Kaka. Alhamdulillah isteri dan anak-anak saya amat menyokong minat saya ini.

“Jika dulu bela kucing ini seperti hobi namun selepas saya menyertai pertandingan pertama pada 2015 saya terus berminat untuk menyertainya lagi hingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 6:37 AM