KUCING kampung lebih mudah dijaga.
KUCING kampung lebih mudah dijaga.
Nurul Husna Mahmud


KEGILAAN peminat 'si bulus' atau pencinta kucing dalam memiliki spesies diidamkan sebagai koleksi peliharaan boleh dilihat apabila golongan ini sanggup berhabis ribuan ringgit.

Dari kategori baka tulen diimport khas atau kucing Pedigree sehingga spesies kucing eksotik, peminat haiwan itu sanggup mengambil risiko bagi memenuhi hobi mahal itu.

Pegawai Veterinar dan Penyelaras Klinikal di Unit Pembedahan Haiwan Kesayangan, Hospital Veterinar Universiti (UVH), Universiti Putra Malaysia, Dr Erni Wati Mohd Arip berkongsi perbezaan antara spesies itu dengan kucing tempatan.

Kata beliau yang mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam bidang veterinar, perbezaan ketara antara kucing tempatan dengan spesies diimport ialah dari segi pengenalan baka.

"Baka kucing tempatan dikenali sebagai Domestic Short Hair (DSH). Ada juga yang menggelarkannya sebagai kucing kampung.

"Kucing tempatan yang biasa ditemui di jalanan dan bukan baka tulen mahupun kacukan memandangkan cara pembiakannya tidak dikawal.

"Malah, kucing ini boleh didapati dalam pelbagai warna dan corak di badan. Ada yang mempunyai bulu pendek atau lebat, tetapi ada juga yang mempunyai bulu agak panjang.

BAKA Persian lebih terdedah masalah buah pinggang.
BAKA Persian lebih terdedah masalah buah pinggang.

"Kucing luar atau diimport mengikut pemahaman saya ialah baka kucing tulen atau kucing Pedigree yang dibawa dari negara luar masuk ke Malaysia. Baka kucing seperti ini selalunya sejarah pembiakannya dikawal bagi memastikan ketulenan dan keaslian baka kucing," katanya.

Kata Dr Erni Wati lagi, kebiasaan anak kucing Pedigree yang lahir selalunya mempunyai sijil menerangkan sejarah induknya.

"Sudut lain dapat dilihat sendiri peminat si bulus ialah daya tahan atau 'survival' kucing baik terhadap persekitaran atau penyakit.

"Kucing kampung yang sudah membiak dan hidup dalam persekitaran tempatan lebih mudah dijaga.

"Berlainan dengan kucing import yang perlu penjagaan lebih teliti dan persekitaran tertentu mengikut baka atau tempat asal kucing itu diambil.

"Baka kucing tulen lebih cenderung mempunyai masalah penyakit keturunan atau genetik seperti Feline Lower Urinary Tract Disease (FLUTD), Diabetes Mellitus atau kencing manis, Lymphocytic or Plasmacytic Inflammatory Disease (masalah mulut dan pencernaan), Polycystic Kidney Disease (buah pinggang) dan Hypertrophic Cardiomyopathy (masalah jantung)," katanya.

Seperti baka Maine Coon yang lebih cenderung untuk menghidapi Hypertrophic Cardiomyopathy (penyakit jantung) dan baka Persian lebih berisiko untuk mendapat penyakit Polycystic Kidney Disease (buah pinggang).

SETIAP kucing memiliki karakter dan ciri istimewa mengikut baka.
SETIAP kucing memiliki karakter dan ciri istimewa mengikut baka.

Satu kategori lagi spesies kucing yang kerap dipelihara peminat kucing tempatan ialah jenis hibrid.

Baka hibrid merujuk kacukan dari kucing domestik dengan kucing domestik yang lain atau dengan kucing hutan (liar).

Disebabkan terdapat perbezaan dari segi genetik maka baka ini selalunya dilihat dengan pelbagai saiz selalunya medium dan besar, corak, warna serta tingkah laku yang berbeza-beza.

"Paling banyak dijumpai di Malaysia ialah Bengal. Baka ini mempunyai corak badan seperti harimau bintang. Baka lain seperti caracal dan savanah juga ada dibela di Malaysia.

"Memandangkan saiz baka ini yang agak besar, penjagaan dan tempat tinggal yang luas serta selesa perlu disediakan sebelum membela baka jenis ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 6:43 AM