PEMBELIAN senjata api, barang haram secara sulit di Dark Web mampu gugat keselamatan negara. FOTO hiasan
PEMBELIAN senjata api, barang haram secara sulit di Dark Web mampu gugat keselamatan negara. FOTO hiasan
Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan


KAPAL selam, dadah dan senjata api antara barangan yang dijual menerusi laman dagang elektronik (e-dagang) di pasaran gelap atau dikenali sebagai Dark Web.

Barangan itu boleh dibeli sesiapa saja malah dibimbangi menjadi ancaman terbaharu kepada keselamatan negara.

Selain itu, data peribadi seperti alamat, nombor telefon serta maklumat kad kredit dibuka untuk jualan secara terbuka di dalam platform yang diistilahkan sebagai E-pasaran gelap itu sejak lebih tiga tahun lalu.

Agensi teknikal keselamatan siber negara iaitu CyberSecurity Malaysia (CSM) turut mengakui kewujudan laman dagang berkenaan, namun usaha untuk membanterasnya agak sukar memandangkan platform sulit itu dicipta untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Unit Keselamatan Siber Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Mohamad Zulfahmy Roslan berkata, situasi berkenaan seperti bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa kerana terlalu banyak kebocoran data dikesan sepanjang tempoh itu.

MOHAMAD Zulfahmy menunjukkan cara melakukan jual beli di Dark Web ketika sesi temuramah Projek Dark Web di Humidor IOI Conezion. FOTO Hafiz Sohaimi
MOHAMAD Zulfahmy menunjukkan cara melakukan jual beli di Dark Web ketika sesi temuramah Projek Dark Web di Humidor IOI Conezion. FOTO Hafiz Sohaimi

Katanya, hanya bermodalkan AS$3 (RM12), seseorang itu dapat membeli maklumat kad kredit yang boleh digunakan untuk pembelian secara dalam talian tanpa menggunakan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) seperti disyaratkan institusi kewangan.

“Kebanyakan pembeli maklumat kad kredit terbabit akan menggunakannya menerusi sistem perdagangan elektronik antaranya kad permainan video serta langganan akaun siaran penstriman seperti Netflix tanpa sebarang sekatan.

“Apa yang perlu dibuat adalah pengguna memasuki laman sesawang menggunakan pautan tertentu serta enjin carian khas dan membeli-belah menggunakan mata wang kripto iaitu Bitcoin.

“Semua data pengguna diperoleh penggodam menerusi laman dagang tertentu yang kemudian dijual di Dark Web dengan harga jauh lebih murah menyebabkannya menjadi pilihan pengguna tidak bertanggungjawab. Lebih membimbangkan jika ia tidak terkawal dan menyebabkan masalah lain seperti jenayah,” katanya.

Wartawan ditunjukkan beberapa butiran peribadi milik mangsa di seluruh negara yang dijual di Dark Web dengan harga tertentu seperti data ahli parti politik, pengguna rangkaian telekomunikasi dan akaun bank yang sudah digodam.

Turut kelihatan di dalam laman sesawang itu pelbagai pilihan senjata api, dadah dan kapal selam yang dijual di luar negara dan boleh dibeli sesiapa saja termasuk rakyat Malaysia.

Menurut Zulfahmy, berdasarkan pengamatannya, beberapa urus niaga barangan menyalahi peraturan berjaya dilakukan tanpa mengetahui di mana lokasi sebenar penghantaran dilakukan.

“Kita juga dapati Dark Web digunakan untuk jual beli barangan curi termasuk pakej hotel yang dijual dengan separuh harga. Ada penggodam yang buat kerja seorang dan ada juga yang berkumpulan.

“Ada penggodam dari negara ini bergabung dengan penggodam beberapa negara luar untuk mengaut untung hasil penjualan di Dark Web. Untuk kad kredit, ada juga penggodam yang menjualnya secara pukal pada harga AS$30 (RM120) bergantung kepada had kad kredit yang masih boleh digunakan.

“Paling merisaukan adalah penggodam yang sudah mendapatkan maklumat akaun bank dan menghubungi mangsa untuk mendapatkan kod pengesahan transaksi (TAC) tanpa diketahui mereka sudah menggodam sistem kewangan,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCCA Siraj Jalil berkata, pihaknya sudah merujuk kes berkenaan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo baru-baru ini untuk memberikan penerangan mengenai isu terbabit.

Katanya, sudah sampai masanya satu akta baru diwujudkan khusus bagi menangani masalah pengguna siber terutama Dark Web kerana apa juga jual beli secara tidak sah akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Dari Januari hingga Julai tahun ini, kerugian yang dilaporkan akibat jenayah siber mencecah RM309.67 juta dan penipuan dalam talian dan kes seperti ini adalah sebahagian daripadanya,” katanya.

MOHAMAD Zulfahmy. FOTO Hafiz Sohaimi
MOHAMAD Zulfahmy. FOTO Hafiz Sohaimi

Sukar kesan, banteras peniagaan haram

Alamat laman web (URL) yang sering bertukar, menggunakan trafik yang disulitkan dan tindanan rangkaian menyukarkan pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan perniagaan haram di dalam pasaran gelap Internet atau Dark Web.

Urus niaga di dalam platform berkenaan juga tidak menggunakan transaksi institusi perbankan sebaliknya menggunakan mata wang digital kripto memandangkan kaedah itu tidak memiliki jejak forensik transaksi, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa melakukan pemantauan.

Bagaimanapun, CyberSecurity Malaysia (CSM) membangunkan keupayaannya selaku agensi teknikal keselamatan siber melalui pembangunan kapasiti sumber manusia dan teknologi untuk memantau platform terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, ancaman jenayah siber di Dark Web ini sangat mencabar kerana platform berkenaan direka dengan memiliki elemen yang menyukarkan untuk dikesan.

“Platform haram ini menggunakan pelbagai elemen sulit supaya pihak berkuasa sukar mengesannya dan ciri ini termasuk melindungi jejak digital mereka yang merangkumi maklumat laman sesawang dan maklumat pengguna.

Dark Web ini tidak boleh diakses menerusi carian biasa sebaliknya mempunyai kaedah tertentu. Platform ini memiliki elemen sulit antaranya ketanpanaamaan (anonymity), trafik yang disulitkan serta tindanaan rangkaian.

“Ciri sebegini menjadikan Dark Web sangat unik dan capaian akses kepada platform terbabit memerlukan penggunaan teknologi dan pengetahuan tertentu,” katanya.

Amirudin berkata, aktiviti jenayah siber seperti pengubahan wang haram, transaksi mata wang digital dan urus niaga perkhidmatan jenayah siber serta aktiviti-aktiviti haram yang lain amat sukar ditangani.

Menjelaskan berhubung Dark Web, beliau berkata, kebanyakan platform berkenaan hanya boleh diakses melalui jemputan daripada kalangan yang dikenali oleh kumpulan berkenaan dan lazimnya, URL yang dibina mungkin hanya boleh dicapai dalam tempoh dua hingga empat minggu saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 10:00 AM