WUJUD keperluan untuk penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Siber yang akan cakna dalam isu kebocoran data peribadi.
WUJUD keperluan untuk penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Siber yang akan cakna dalam isu kebocoran data peribadi.
Muhammad Saufi Hassan


LEBIH RM2 bilion kerugian direkodkan dalam tempoh lima tahun membabitkan jenayah siber di negara ini dan ia termasuk kes penipuan atas talian yang banyak dilaporkan.

Berdasarkan buku kajian jenayah siber yang diterbitkan Institut Keselamatan Awam (IPSOM) turut mendedahkan bahawa hampir 70 peratus kes jenayah komersial kini dikategorikan sebagai kes jenayah siber.

Bagi tempoh 2017 sehingga Jun 2021, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kerugian lebih RM2 bilion membabitkan jenayah siber.

Untuk tahun lalu pula, negara merekodkan kerugian RM560 juta membabitkan 20,000 kes jenayah siber dan perkara berkenaan didedahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) tahun lalu.

Pada masa sama, isu keutuhan data peribadi juga sering menjadi keraguan dalam kalangan pengguna supaya tidak bocor kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Keadaan itu mendorong kepada keperluan untuk mewujudkan Suruhanjaya Keselamatan Siber yang berfungsi melindungi data peribadi pengguna serta isu yang berkaitan dengannya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, suruhanjaya berkenaan akan bergerak untuk kawal selia dan takbir urus semua agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan khidmatan siber sekuriti supaya pengguna siber negara terjamin.

"Suruhanjaya ini diberi kuasa untuk menentukan syarat perlesenan dan corak laporan audit yang dilaksanakan oleh agensi yang menawarkan perkhidmatan siber sekuriti.

ISU keutuhan data peribadi sering menjadi keraguan dalam kalangan pengguna supaya tidak bocor kepada pihak tidak bertanggungjawab.
ISU keutuhan data peribadi sering menjadi keraguan dalam kalangan pengguna supaya tidak bocor kepada pihak tidak bertanggungjawab.

"Kemungkinan Akta Perlindungan Peribadi bolih digabungkan dengan Akta Keselamatan Siber supaya suruhanjaya ini berperanan lebih luas untuk menjaga data pengguna serta menjamin integriti data berada dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata, ancaman keselamatan siber ini sangat kompleks serta berubah-ubah pada setiap hari, sekali gus memerlukan satu usaha yang perlu digembleng dengan agensi pakar.

Menurutnya, kewujudan suruhanjaya ini akan dapat mengekang masalah kebocoran data pengguna yang berlaku pada ketika ini, sekali gus memberikan ekosistem siber yang lebih selamat.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan Prof Dr Mohd Mizan Aslam, penjualan data sensitif membabitkan pengguna susulan daripada kebocoran data mampu memberikan ancaman keselamatan secara menyeluruh.

Menurutnya, keadaan itu mampu menggugat keselamatan negara khususnya jika ia membabitkan jumlah ketirisan data yang besar atau signifikan.

PENGGUNA perlu lebih peka dengan kepenggunaan siber, sekali gus tidak menjadi mangsa penipuan.
PENGGUNA perlu lebih peka dengan kepenggunaan siber, sekali gus tidak menjadi mangsa penipuan.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, kebanyakan penjualan data peribadi yang tertiris ini dilakukan menerusi platform 'dark web', sekali gus menyukarkan pengesanan individu bertanggungjawab.

Menurutnya, penjualan data menerusi platform itu juga menggunakan transaksi mata wang kripto yang hampir tiada jejak forensik.

"Ini bukan lagi isu ketirisan data atau data pengguna yang bocor, sebaliknya sudah menjadi isu keselamatan terutama jika ia membabitkan maklumat sensitif seperti nombor kad pengenalan, nombor passport, alamat rumah dan sebagainya.

"Saya amat yakin bahawa data pengguna yang dijual secara pukal di laman 'dark web' berkenaan bukan saja membabitkan nama dan alamat, sebaliknya merangkumi nombor kad pengenalan serta beberapa maklumat sensitif lain.

"Melihat daripada satu aspek, data itu boleh digunakan pihak ketiga untuk tujuan penyamaran, pengintipan dan sebab itu, ia membabitkan keselamatan negara," katanya.

Beliau turut menyokong penubuhan satu suruhanjaya khas yang memantau keselamatan siber terutama data pengguna.

Mohd Mizan berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab menjual data itu di 'dark web' adalah ia sukar untuk dikesan dan setiap transaksi tidak mempunyai jejak forensik.

Menurutnya, dalam dunia serta maju ketika ini, perkara yang membabitkan data pengguna perlu dilindungi sebaik mungkin kerana ia boleh digunakan untuk bermacam tujuan.

"Mungkin bagi sesetengah orang beranggapan kecurian data ini hanya untuk penipuan soal kewangan, tetapi hakikatnya masalah ini lebih serius daripada itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 7:00 AM