HELLDIVERS 2 permainan penuh aksi yang sangat menyeronokkan, berbaloi  xserta ada keunikan tersendiri.
HELLDIVERS 2 permainan penuh aksi yang sangat menyeronokkan, berbaloi xserta ada keunikan tersendiri.
Muhammad Saufi Hassan


PERMAINAN yang penuh aksi, tembak-menembak sepanjang permainan, lari dari dikejar musuh atau makhluk dan pelbagai aksi lagi.

Itu antara babak permainan dalam Helldivers 2 apabila pemain akan meneroka pelbagai bentuk muka planet, keadaan planet yang mengganggu senjata serta kumpulan makhluk yang ganas.

Tempoh 60 minit pertama penulis dalam permainan ini tidak begitu baik apabila masih cuba memahami mekanik permainan dan kumpulan makhluk 'Terminids' yang banyak membunuh watak penulis serta tiga lagi ahli skuad.

Pada peringkat awal, penulis berasakan bahawa jumlah peluru yang sedikit menyukarkan permainan dan cuba memahami konsep 'Stratagems' iaitu satu bentuk strategi dan jatuhan senjata atau serangan.

Permainan terbitan Sony Interactive Entertainment (SIE) ini begitu cepat menjadi 'hype' dalam komuniti permainan dunia dan penulis boleh katakan ia adalah permainan yang sangat seronok, berbaloi dan keunikan tersendiri.

Awal permainan, pemain tidak mempunyai banyak pilihan daripada persenjataan, bantuan serangan udara dan sebagainya, namun selepas beberapa jam bermain, pemain boleh mula membeli senjata dan bantuan serangan yang diinginkan.

Penulis menasihatkan jika bermain secara berkumpulan, pastinya strategi persenjataan diambil kira sebagai fokus utama kerana setiap pemain boleh membantu pemain lain dengan senjata yang sesuai.

PEMAIN boleh melakukan eksplorasi planet fiksyen lain dalam dunia Helldivers 2.
PEMAIN boleh melakukan eksplorasi planet fiksyen lain dalam dunia Helldivers 2.

Jika bermain seorang diri atau 'solo mode', kaedah permainan paling baik adalah bermain dengan bijak serta menggunakan konsep 'serang dan lari' memandangkan jumlah kumpulan makhluk asing atau robot adalah berganda lebih banyak.

Pada setiap misi yang berjaya, pemain diberikan 'wang' untuk dibelanjakan bagi membeli persenjataan baharu, kaedah terbaik adalah memberikan fokus kepada senjata utama pemain dan serangan bantuan seperti 'orbital strike'.

Ia sangat membantu pemain untuk seronok sepanjang permainan dan tidak mudah 'dibuli' makhluk asing yang ganas serta 'lapar' berkenaan.

Selain itu, strategi permainan yang baik adalah kerap kali menukar senjata mengikut musuh dan tidak hanya bergantung kepada satu senjata kerana ia merugikan peluru dan memerlukan bantuan 'loadout drop' jika kehabisan peluru.

Strategi permainan yang baik untuk permainan ini adalah membeli bantuan seperti sentri mortar dan sentri 'gattling canon' khusus untuk sokongan kuasa tembak sementara menunggu 'extraction'.

Pemain perlu diingatkan bahawa permainan ini mempunyai 'friendly fire' iaitu tembakan rakan mampu mencederakan pemain lain, oleh itu perlu bijak memilih kawasan untuk menembak serta tidak berada di depan pemain lain.

Secara keseluruhannya, penulis sangat menyukai konsep serta mekanik permainan ini yang tidak linear, bentuk permainan boleh berubah mengikut 'loadout' pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 6:15 AM