PERMAINAN For Honor keluaran Ubisoft sudah memasuki tahun ketiganya.
PERMAINAN For Honor keluaran Ubisoft sudah memasuki tahun ketiganya.
Muhammad Saufi Hassan


PERMAINAN pertempuran zaman ‘Medieval’ atau zaman pertengahan mungkin kurang popular dalam kalangan peminat sukan elektronik tempatan namun konsep berkenaan agak menarik untuk dimainkan.

Penerbit permainan terkemuka, Ubisoft hujung bulan lalu melancarkan promosi selama seminggu dengan memberikan judul permainan miliknya, For Honor yang boleh ditebus secara percuma.

For Honor dilancarkan pada 2017 menampilkan konsep pertempuran lapan pemain dan ia mempunyai beberapa mod permainan termasuk pertempuran satu lawan satu.

Permainan ini menggunakan mekanik permainan sama seperti judul lain terbitan Ubisoft iaitu ‘Rainbow Six: Siege’ cuma yang membezakan adalah persenjataan moden, manakala For Honor menggunakan persenjataan zaman pertengahan.

Lebih unik, For Honor memiliki karakter juara atau ‘Champion’ yang boleh dipilih daripada era kegemilangan tentera Inggeris, Viking ataupun mahu yang lebih Asia seperti ninja atau samurai.

Judul ini kurang popular dalam kalangan pemain sukan elektronik di negara ini dan komuniti permainan itu tidak begitu ramai mungkin disebabkan latar permainan yang agak purba.

Penulis pernah bermain judul ini ketika ia mula dilancarkan dua tahun lalu menerusi platform konsol PlayStation 4 dan penulis berasakan konsep permainan ini agak menarik dan mempunyai keunikan sendiri.

Setiap karakter mempunyai tahap kesukaran tersendiri dan memiliki kelas berasingan serta pemain perlu memahirkan kombinasi butang kawalan untuk mendominasi permainan.

Hampir setiap watak mempunyai kombinasi butang kawalan yang berbeza untuk melakukan jatuhan, pukulan jatuh, serangan ringan dan berat serta beberapa kombinasi lain.

Ketelitian grafik yang dipamerkan begitu baik serta terperinci dan setiap karakter mempunyai gaya ‘pukulan maut’ sendiri dan ia perlu diaktifkan menerusi butang kawalan.

Berdasarkan rangka permainan itu, For Honor sudah memasuki tahun ketiganya iaitu ‘Episod Harbinger’ dan akan memperkenalkan seorang adiwira setiap suku tahunan.

Bagaimanapun, penulis menasihati pemain baharu untuk bersabar dan mula memahami mekanik permainan kerana konsep ini sama seperti permainan umpama Tekken, Street Fighter dan beberapa judul lain memandangkan perlu cekap menggunakan butang kawalan.

Secara keseluruhannya, ia sebuah permainan yang sangat baik, menghiburkan dan mempunyai keunikan tersendiri berbanding judul lain yang ada kalanya kekal dengan konsep sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 9:02 AM