Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

 

Kuala Lumpur: Menyentuh aspek skrin paparan produktiviti, pastinya beberapa elemen antaranya kejelasan visual dengan resolusi tinggi adalah jawapannya.

  Untuk itu, menerusi skrin paparan baharu keluaran MSI iaitu daripada generasi MD271UL tampil dengan rekaan serta spesifikasi skrin paparan yang sesuai untuk produktiviti serta penyedia kandungan.

  Skrin berkenaan datang dengan sokongan resolusi 4K iaitu 3840 x 2160 dengan saiz skrin 27 inci sekali gus memberikan sudut pandangan lebih luas daripada kebiasaan.

  Sesuai untuk produktiviti dan penyedia kandungan, paparan untuk skrin ini menggunakan teknologi IPS serta paparan tanpa bezel di tiga permukaan sisi.

  MD271UL ini didatangkan dengan 'stand' aloi aluminium bersama sudut 64.4 darjah bersama-sama rekaan yang nipis dengan sokongan sambungan HDMI serta beberapa sambungan lain.

  Ia juga menyokong hingga 1.07 bilion warna dengan bacaan DCI-P3 99 peratus sekali gus sangat sesuai untuk seseorang yang kerap menggunakan untuk kandungan, suntingan atau pengubahsuaian gambar.

  Ini kerana warna yang terhasil adalah persis sebenar tanpa pengguna perlu melakukan penyeragaman warna.

  Untuk mereka yang bertugas sebagai pereka grafik, skrin paparan ini sangat sesuai kerana mempunyai 95 peratus rangkuman warna Adobe RGB iaitu hampir merangkumi semua warna bagi seorang pereka grafik.

  Skrin MD271UL turut didatangkan dengan kedalaman warna 10 bit yang memberikan gradien warna lebih licin serta pandangan semula jadi.

  Ia juga didatangkan dengan MSI Display Kit iaitu pengubahsuaian untuk pengguna dan akses kepada tetingkap berkenaan juga begitu mudah iaitu hanya menekan butang di bawah skrin itu.

  Secara keseluruhannya, skrin paparan ini sangat bersesuaian dengan pengguna yang melakukan penyedia kandungan khusus bagi pereka grafik.

  Rekaan skrin ini yang nipis serta sarat dengan kefungsian terkini juga menjadi titik penentuan kepada pengguna untuk memiliki skrin paparan produktiviti keluaran MSI ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 6:59 PM