PENGGUNA juga perlu memainkan peranan penting untuk menjaga data. - FOTO Google
PENGGUNA juga perlu memainkan peranan penting untuk menjaga data. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan


Maklumat seperti nama, nombor telefon, alamat dan emel sudah dianggap data peribadi sensitif kerana setiap satunya saling berkait.

  Insiden kebocoran data peribadi seringkali dilaporkan dan pada tahun lalu, sebuah syarikat keselamatan siber, Surfshark menyatakan bahawa negara ini berada di kedudukan ke-11 negara paling ramai data pengguna yang diceroboh.

  Syarikat telekomunikasi antara pihak yang memegang paling banyak data pengguna memandangkan hampir semua rakyat di negara ini memiliki peranti pintar termasuk kadar penembusan Internet yang tinggi.

  Mendepani masalah kebocoran data peribadi, penyedia telekomunikasi terkemuka CelcomDigi antara yang terkedepan untuk memastikan data pengguna sentiasa dikawal selia dengan baik.

  Ketua Privasi CelcomDigi, K Kulani berkata, pihaknya menumpukan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna dan penyedia perkhidmatan berkenaan ketelusan integriti data.

  "Kami menyampaikan ketelusan ini melalui notis privasi kami yang diringkaskan untuk membolehkan pelanggan memahami dengan lebih baik tujuan data yang dikumpul serta digunakan.

  "Sangat sedikit organisasi yang menggunakan kaedah privasi maklumat grafik dan kami meningkatkan pendekatan ini kerana ia adalah salah satu cara yang boleh mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelanggan.

  "Kami juga mempunyai sumber dalam talian yang membolehkan pelanggan kami mempelajari cara melindungi diri mereka dalam talian serta mempelajari beberapa petua untuk memastikan mereka sentiasa berhati-hati dan berwaspada," katanya.

  Kulani berkata, secara dalaman pihaknya juga menjalankan latihan dengan pekerja untuk memastikan pematuhan dan ini adalah salah satu cara kami memastikan tadbir urus yang baik.

KAWAL selia untuk menjamin integriti data pengguna. - FOTO Google
KAWAL selia untuk menjamin integriti data pengguna. - FOTO Google

ISU kebocoran data peribadi menjadi isu utama pengguna. - FOTO Google
ISU kebocoran data peribadi menjadi isu utama pengguna. - FOTO Google

  Beliau berkata, CelcomDigi mempunyai rangka kerja keselamatan dan kawalan keselamatan yang sangat utuh.

  "Untuk tujuan itu, kami juga mematuhi piawaian keselamatan ISO, jadi, isu ketirisan data ini dipantau pada setiap masa serta secara masa nyata.

  "Pada masa sama, kita juga sedang melihat kemungkinan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam membantu menangani ancaman serta membantu organisasi dengan lebih bijak.

  "Kami juga sedang meneroka bagaimana kami boleh mendapatkan sokongan AI untuk membantu mencegah penipuan dan membantu kami melindungi privasi pelanggan kami dengan lebih baik," katanya.

  Ketika ditanya berhubung penggunaan AI, adakah ia satu bentuk teknologi 'dua mata,' Kulani menyatakan bahawa setiap teknologi itu datang dengan dua aspek iaitu sisi positif serta negatif.

  "Terdapat banyak faedah kepada AI dan kami sedang meneroka potensi kes penggunaan AI dan cara kami boleh mengoptimumkannya sebagai syarikat telekomunikasi.

  "Ia masih di peringkat awal dan kami belum meneroka sepenuhnya tetapi kami mempunyai pasukan petugas untuk mengkaji dan meneroka kemungkinan dalam AI," katanya.

  Beliau berkata, sebagai sebuah perniagaan yang bertanggungjawab, ini adalah komitmen CelcomDigi terhadap pelanggan dan itulah cara untuk membina asas dalam tadbir urus yang baik, seterusnya menjadikan sebuah perniagaan yang beretika.

  Katanya, pihaknya juga berusaha untuk memastikan bahawa CelcomDigi meminimumkan faktor risiko dan ini termasuk menyaring pihak ketiga yang melakukan pemprosesan data.

  "Ini adalah beberapa amalan yang kami sediakan untuk memastikan tahap privasi data yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 7:02 AM