Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

Jenama permainan premium, Razer mengumumkan akan memasarkan produk pelitup muka keluarannya sendiri dengan kod nama 'Razer Project Hazel'.

Menerusi satu pengumuman, Razer memaklumkan bahawa pelitup muka pintar itu berteraskan kepada rekaan topeng N95.

Project Hazel itu pada peringkat awal hanya berbentuk satu idea konsep saja namun Razer menyatakan bahawa pelitup muka itu akan ditawarkan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Razer, Min-Liang Tan berkata, pelitup muka pintar itu akan dipasarkan seawal suku keempat tahun ini.

Menurutnya, ia adalah produk yang akan dijual dalam kuantiti terhad dan secara eksklusif menerusi laman web rasmi Razer.

Menerusi rekaan Project Hazel berkenaan, Razer menampilkan rekaan lutsinar pelitup muka berkenaan bertujuan untuk memudahkan pengguna lain membaca pergerakan bibir pengguna.

Sesuai dengan trend semasa dalam industri desktop permainan, pelitup muka berkenaan akan dilengkapi dengan sistem lampu RGB dan lapisan kalis wap pada bahagian dalam topeng.

Bagaimanapun, Razer masih belum mengumumkan tanda harga untuk pelitup muka berkenaan dan akan mengumumkan ketika pelancarannya kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 9:57 PM