Razer catat perolehan RM7.12 bilion tahun lalu.
Razer catat perolehan RM7.12 bilion tahun lalu.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

 

Jenama perkakas kelas permainan, Razer mencatatkan perolehan kira-kira RM7.12 bilion dengan kadar pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 33.3 peratus.

  Ia adalah prestasi syarikat itu untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember lalu.

Kejayaan itu didorong oleh permintaan pada separuh pertama tahun lalu kesan daripada pandemik, peningkatan bahagian pasaran untuk perniagaan segmen perkakasan sekali gus berlaku pengembangan berterusan.

  Syarikat perkakas itu juga melaporkan berlaku peningkatan dalam margin untung kasar sebanyak 24 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 22.3 peratus saja.

  Bagi susut nilai dan pelunasan (EBITDA) merekodkan RM422.4 juta iaitu berlaku peningkatan 115.5 peratus daripada RM196.2 pada tahun sebelumnya.

  Razer merekodkan keuntungan bersih RM190.96 juta berbanding RM3.52 juta pada tahun sebelumnya dan ia didorong oleh pertumbuhan hasil, pengembangan margin kasar yang berterusan serta peningkatan produktiviti.

  Ketua Pegawai Eksekutif Razer, Min-Liang Tan berkata, ketika syarikat itu mengharungi ketidakpastian serta cabaran yang disebabkan oleh ketegangan geopolitik, persekitaran makro serta pandemik Covid-19 yang berterusan.

  "Kami menjangkakan kejutan rantaian bekalan seluruh industri yang berlarutan memberi kesan berterusan ke atas perniagaan kami dengan pengangkutan dan logistik.

  "Daripada segi permintaan, kami melihat momentum pertumbuhan yang menyusut untuk produk dan perkhidmatan kami sejak separuh kedua 2021 berbanding pertumbuhan luar biasa pada tahun sebelumnya, kami menjangkakan trend ini akan berterusan hingga 2022 sebagai hasil daripada kesan asas tinggi yang dilihat pada 2021," katanya.

  Min-Liang berkata, melihat cabaran hadapan, syarikatnya akan terus melabur dalam bidang pertumbuhan baharu serta membina ekosistem permainan unik Razer.

   "Namun, sebelum kami mula melihat hasil, bidang pertumbuhan ini akan mengambil masa untuk direalisasikan sepenuhnya dan ia akan memerlukan perbelanjaan tambahan dalam perbelanjaan operasi kami dan mungkin menjejaskan prestasi perniagaan jangka pendek hingga sederhana," katanya.

  

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 2:16 PM