GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penduduk di Negeri Sembilan diminta tidak membuat pembelian panik atau membeli dalam kuantiti banyak terhadap ubat-ubatan tertentu susulan peningkatan kes Covid-19 varian Omicron, ketika ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan memberi jaminan bekalan ubat-ubatan termasuk kit ujian kendiri Covid-19, pelitup muka, topeng muka, cecair pensanitasi tangan dan ubat-ubatan lain seperti paracetamol adalah mencukupi.

Pengarah KPDNHEP negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pihaknya sudah membuat pemeriksaan di seluruh negeri terhadap semua bekalan bahan berkenaan dan mendapati ia mencukupi untuk keperluan pengguna.

"Sehingga hari ini, kita memeriksa 5,554 premis dan 213 daripadanya terdiri daripada farmasi, kedai ubat-ubatan dan kedai serbaneka.

"Kita dapati bekalan kit ujian Covid-19, topeng muka, cecair pembasmi kuman dan ubat-ubatan lain seperti paracetamol banyak di pasaran dan mudah diperoleh.

"Malah, kita tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan bagi item ini di pasaran sama ada melalui sistem e-aduan mahupun panggilan ke Bilik Gerakan Harian," katanya.

Ain Arjuna berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ubat-ubatan asas itu seperti paracetamol mendapat permintaan tinggi di pasaran ketika ini berikutan penularan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia tidak seharusnya mendorong pengguna bertindak terburu-buru melakukan pembelian panik kerana terdapat pelbagai jenama bagi paracetamol di pasaran.

"Pengguna tidak seharusnya tertumpu kepada satu jenis jenama sahaja. Ada ubat-ubat lain disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sesuai digunakan.

"Kementerian akan memantau perkara ini secara berterusan untuk memastikan tiada masalah terputus bekalan bagi item berkenaan di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 6:00 PM