GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Saufi Hassan


PENGENDALI perkhidmatan telekomunikasi Maxis menawarkan data mudah alih 1GB percuma kepada pelanggannya setiap hari menerusi pelan pascabayar dan prabayar syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, rakyat Malaysia mengubah gaya hidup dengan ketara sejak permulaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pada masa sama, mereka perlu melaksanakan segala aktiviti di dalam rumah.

“Kita sememangnya menyedari betapa pentingnya teknologi dan kesambungan dalam hidup. Oleh itu, Maxis ingin meningkatkan sokongan dengan tambahan data 1GB setiap hari untuk semua pelanggan.

“Kami juga memastikan sambungan tidak terganggu dengan mengekalkan keupayaan rangkaian tetap dan mudah alih walaupun terdapat peningkatan trafik dengan pelaburan yang berterusan serta kakitangan rangkaian yang bersedia di tapak,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar, sebentar tadi.

Pengguna rangkaian Maxis boleh melakukan tebus pas data berkenaan setiap hari menerusi aplikasi MyMaxis, MyMaxis Biz, Hotlink Flex atau Hotlink RED atau menerusi UMB.

Bagi pengguna yang sudah memuat turun aplikasi MyMaxis, MyMaxis Biz dan Hotlink Flex perlu menekan ‘Get More Data’ dan pilih ‘FREE 1GB/Day Pass’ di bawah pilihan ‘Time Based Pass’.

Untuk aplikasi Hotlink RED, pengguna perlu menekan ‘banner’ di laman utama dan pilih ‘FREE 1GB/Day Pass’ dan anda juga boleh mencari pas berkenaan di tab pilihan ‘Shop’.

Menerusi komitment 1GB baru, pengguna juga masih boleh melakukan tebas tawaran 3GB satu kali sebelum ini sehingga 2 April.

Pelanggan Maxis juga masih boleh mendapat akses percuma ke laman web terpilih untuk maklumat penting dan terkini, termasuk panggilan percuma ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan semua Jabatan Kesihatan Negeri sepanjang tempoh PKP.

Maxis terus menyokong komuniti dengan program perdana eKelas dengan membolehkan pelajar daripada komuniti luar bandar untuk terus menyambung pembelajaran mereka sepanjang PKP.

Portal eKelas menyediakan kandungan pembelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris bagi murid Tahun Enam hingga pelajar Tingkatan Lima.

Selain itu, pelajar eKelas mempunyai akses khas untuk 14,000 eBook dan buku audio Perpustakaan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 11:52 PM