MAXIS.
MAXIS.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis) menjadi syarikat telekomunikasi pertama menyediakan perkhidmatan perayauan antarabangsa 5G kepada pelanggan di Singapura, Thailand dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, pihaknya teruja dengan pencapaian Maxis, terutama dengan kerjasama bersama rakan perayauan di tiga negara terbabit.

"Setelah tiba di salah satu dari tiga destinasi ini, pelanggan dapat memilih rangkaian Singtel di Singapura, AIS di Thailand atau Telkomsel di Indonesia.

"Perkhidmatan perayauan 5G ini akan diaktifkan secara automatik pada mana-mana peranti berkemampuan 5G.

"Pelanggan Maxis yang menggunakan perayauan 5G dikenakan bayaran yang sama berdasarkan pakej perayauan 4G tanpa caj tambahan," katanya, dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pelanggan perlu mengakses aplikasi Maxis dan klik pada banner Maxis Roaming.

Sementara itu, bagi pelanggan Hotlink boleh mengaktifkan perayauan data menerusi Pass Roam Data bagi melanggan atau mendail *100#, pergi ke International Roaming, pilih Country dan pilih salah satu pas yang ada sebagai alternatif.

Gokhan berkata, Maxis turut merancang melancarkan perkhidmatan perayauan 5G ke destinasi popular lain pada akhir 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 6:07 PM