KECERDASAN Buatan (AI) akan melakukan carian berasaskan kepada ‘algorithm’ pengguna di laman sosial.
KECERDASAN Buatan (AI) akan melakukan carian berasaskan kepada ‘algorithm’ pengguna di laman sosial.
Muhammad Saufi Hassan


REVOLUSI Industri 4.0 bakal memperlihatkan keupayaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam kehidupan manusia secara lebih meluas termasuk membantu tugasan harian di pejabat.

Secara asasnya, teknologi AI tidak bermaksud untuk mengambil alih tugas manusia sebaliknya ia digunakan untuk membantu memudahkan urusan harian menjadi lebih sistematik dan tersusun.

Wujud segelintir masyarakat yang melihat bahawa teknologi AI berkenaan akan mengambil alih tugas manusia namun hakikat sebenar adalah sebaliknya apabila teknologi berkenaan hanya sebagai pemudah cara.

Cuba bayangkan tugasan di pejabat pada hari ini dibantu oleh teknologi AI sebagai pembantu peribadi. Sudah pasti, setiap tugasan yang akan dilakukan atau sedang dilakukan lebih sistematik dan tersusun.

Kewujudan teknologi AI berkenaan dapat membantu pengurusan manusia dengan menjimatkan masa tanpa melakukan tugasan berulang kali, malah jika pengguna ingin membeli sesuatu barangan, AI akan memberikan cadangan serta keputusan positif serta negatif berdasarkan kepada pemilihan pengguna.

Sebenarnya, secara tidak langsung manusia hari ini sudah menggunakan teknologi berkenaan tanpa disedari terutama bagi individu yang gemar melakukan carian menggunakan sistem automasi suara pintar.

TEKNOLOGI AI mampu untuk menjadikan tugasan manusia lebih sistematik dan tersusun.
TEKNOLOGI AI mampu untuk menjadikan tugasan manusia lebih sistematik dan tersusun.

Sistem berkenaan juga adalah sebahagian daripada teknologi AI dalam membantu kita mencari jawapan kepada pertanyaan mengenai sesuatu perkara.

Beberapa pemain utama industri termasuk Microsoft giat melakukan ujian dan memperkemaskan teknologi berkenaan supaya lebih matang untuk digunakan pada masa depan.

Teknologi AI ini juga akan melakukan carian berasaskan kepada algoritma pengguna di laman sosial dan hanya memaparkan perkara yang mengikut kepada cita rasa atau corak kegemaran pengguna saja.

Bagaimanapun, setiap teknologi masih mempunyai kelemahan yang ketara dan ini termasuk AI apabila segenap maklumat yang disimpan boleh dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ia adalah cabaran buat penyelidik untuk menjadikan teknologi berkenaan lebih matang dan sentiasa mengemas kini fail keselamatan daripada menjadi mangsa penggodam.

Dunia siber pada masa kini lebih terdedah kepada jenayah maya apabila setiap kecurian data tidak berlaku secara fizikal sebaliknya hanya beberapa klik oleh individu tertentu.

Perkara berkenaan masih hebat diperdebatkan oleh pengkaji serta pencipta supaya penyediaan infrastruktur AI lebih selamat daripada sebarang cubaan manipulasi maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 7:00 AM