Abdul Fattah  (tengah) menyaksikan  Kamarudin (kiri) bersalaman dengan Raja Sa'adi pada majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Antara MyAngkasa Services Sdn Bhd, Kayworld Travel & Tours Sdn Bhd dan Malindo Airways Sdn Bhd di Auditorium ANGKASA.
Abdul Fattah (tengah) menyaksikan Kamarudin (kiri) bersalaman dengan Raja Sa'adi pada majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Antara MyAngkasa Services Sdn Bhd, Kayworld Travel & Tours Sdn Bhd dan Malindo Airways Sdn Bhd di Auditorium ANGKASA.
Sri Ayu Kartika Amri


Petaling Jaya: MyAngkasa Services Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memberi satu lagi nilai tambah kepada perniagaan koperasi apabila memeterai kerjasama dengan Malindo Airways Sdn Bhd dalam usaha meningkatkan lagi aktiviti pelancongan.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, menerusi kolaborasi itu, anggota koperasi berpeluang menggunakan perkhidmatan penerbangan Malindo melalui tawaran harga istimewa yang ditawarkan menerusi laman web, www.malindoair.com.

Beliau berkata, tawaran itu eksklusif dan hanya terbuka kepada anggota koperasi di bawah naungan Angkasa.

“Kerjasama ini membabitkan tiga fasa. Bagi fasa pertama, kami menjangkakan 200 koperasi akan menjadi ejen MyAngkasa Malindo bagi 2017 manakala fasa kedua membabitkan umrah dan fasa ketiga, kami akan bekerjasama dengan koperasi perhotelan untuk menyediakan pakej lebih lengkap.

“Lebih menarik, koperasi juga diberi peluang menjana pendapatan tambahan menerusi jualan tiket Malindo MyAngkasa dengan mendaftar sebagai ejen jualan menerusi MSSB,” katanya pada majlis memeterai kerjasama bersama Malindo, di sini.

Hadir sama, Pengerusi MSSB, Datuk Kamaruddin Ismail dan Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo, Raja Sa’adi Raja Amrin.

Abdul Fattah berkata, kerjasama MyAngkasa Malindo itu yang pertama diadakan.

“Kami menjangka dapat menguasai penerbangan destinasi tempatan kerana pasaran koperasi yang ahlinya sering melancong dalam negara saja dianggarkan bernilai antara RM10 hingga RM15 juta.

“Kami akan menawarkan pelbagai ganjaran menarik dari semasa ke semasa dan koperasi di bawah Angkasa perlu menjadi ejen MyAngkasa Malindo serta ambil peluang yang ada,” katanya.

Beliau berkata, koperasi juga boleh membuat tempahan berkelompok dengan menghubungi MSBB untuk mendapatkan kadar harga purata lebih menarik.

MSSB turut melantik Kayworld Travel & Tours Sdn Bhd bagi membantu mengendalikan semua urusan berhubung pelantikan ejen koperasi yang mahu menjadi ejen MyAngkasa Malindo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 6:28 AM