PELAJAR juga diajar bagaimana menjaga haiwan kesayangan mereka.
PELAJAR juga diajar bagaimana menjaga haiwan kesayangan mereka.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

HAIWAN peliharaan sebagai medium terapi untuk kanak-kanak autisme dan berkeperluan khas?

Bunyinya agak pelik bagi masyarakat di negara ini namun sebenarnya kaedah terapi menggunakan haiwan peliharaan sudah lama dipraktikkan di seluruh dunia.

Ini kerana haiwan jinak seperti kucing, arnab, burung dan sebagainya bukan sahaja comel malah menjadi kegemaran kanak-kanak.

Kaedah itu turut menjadi pilihan Dr Khew E Joon, 41, untuk mewujudkan pusat intervensi awal, Animals For Young bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah autisme dan berkeperluan khas di negara ini.

Menyingkap idea kewujudan pusat yang juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Dr Khew berkata, semuanya bermula apabila anak lelakinya, Yap Young, didiagnos dengan masalah Severe Autism ketika berusia tiga tahun.

Katanya, beberapa pusat terapi sudah dicuba namun tetap tiada perkembangan yang memberangsangkan.

"Berbekalkan pengetahuan yang ada dalam bidang kelakuan haiwan, saya mencuba teknik terapi menggunakan gabungan haiwan dan pelbagai kaedah pembelajaran lain.

"Tanpa disangka, selepas tiga bulan Yap Young menunjukkan perkembangan menakjubkan dan tahap autismenya juga sudah berubah daripada severe kepada sederhana (mild).

"Lebih menggembirakan, dia juga kini dapat bersekolah di sekolah biasa, " katanya.

PELAJAR seronok menjalani terapi dengan kehadiran arnab.
PELAJAR seronok menjalani terapi dengan kehadiran arnab.

Menurut Dr Khew, pelbagai haiwan peliharaan jinak digunakan antaranya kucing, arnab, burung, hamster, kuda dan banyak lagi.

Menurut Dr Khew, kuda misalnya adalah antara haiwan yang terbaik digunakan sebagai medium untuk terapi kanak-kanak yang tidak dapat bergerak seperti Cerebral Palsy.

Katanya, lenggok kuda ketika berjalan tidak ubah seperti manusia dan ia bagus dari segi rangsangan serta koordinasi badan kanak-kanak terbabit.

"Berdasarkan kajian, setiap satu minit pergerakan kuda umpama 120 langkah pergerakan manusia.

"Jika 30 minit, ia seolah-olah dapat membantu memberi rangsangan 3,600 langkah pergerakan manusia dan pastinya bermanfaat kepada mereka," katanya.

Tambah Khew lagi, kucing pula tidak perlu dipersoalkan antara haiwan jinak yang paling disukai kanak-kanak pelbagai peringkat umur.

Katanya, kehadiran kucing dalam sesi terapi bukan sahaja menyeronokkan pelajar malah turut dapat membantu mereka lebih fokus dan tidak berasa bosan.

"Biasanya pelajar akan cepat bosan ketika menjalani terapi dalam kelas seperti melakukan aktiviti merangkak dalam gelung.

"Tetapi, jika ada haiwan seperti kucing atau arnab yang sama-sama melakukan aktiviti berkenaan, pelajar akan berasa lebih teruja dan seronok.

"Bagi burung pula, ia dapat membantu dalam memupuk sifat sabar dan berkongsi di dalam diri kanak-kanak," katanya.

MEMUPUK sifat sabar dan boleh berkongsi dalam diri kanak-kanak berkeperluan khas dengan terapi menggunakan burung.
MEMUPUK sifat sabar dan boleh berkongsi dalam diri kanak-kanak berkeperluan khas dengan terapi menggunakan burung.

Dalam pada itu, selepas hampir tiga tahun ditubuhkan, pusat terbabit kini turut memberi tumpuan kepada intervensi awal untuk membantu kanak-kanak istimewa yang mengalami masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), lambat bercakap, lambat perkembangan, Sindrom Down, Cerebral Palsy dan sebagainya.

Berbanding pusat terapi lain, Animals For Young beroperasi di sebuah rumah seluas 3,000 kaki persegi di Cyberjaya kerana menurut Dr Khew lokasi turut memainkan peranan penting dalam perkembangan terapi kanak-kanak terbabit.

Katanya, jika terapi dilakukan di persekitaran seperti tempat tinggal, kanak-kanak akan berasa lebih tenang dan mereka juga mudah menerima arahan tanpa ada penolakan.

"Kami memiliki enam tenaga pengajar sepenuh masa yang berpengalaman luas dan dibantu pelatih graduan psikologi.

"Bagi memastikan kanak-kanak mendapat tumpuan sepenuhnya, maksimum empat pelajar di dalam satu kelas namun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hanya seorang pelajar untuk seorang ahli terapi.

"Kelas pembelajaran pula terbahagi kepada dua pilihan iaitu sama ada hanya separuh hari (9 pagi hingga 12 tengah hari) dan sepenuh hari iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang," katanya.

Ketika ini, pusat terbabit memberi tumpuan kepada empat tonggak pembelajaran iaitu komunikasi, deria, motor dan sosial.

KEHADIRAN haiwan comel seperti kucing menjadikan pelajar lebih teruja dalam sesi terapi di Animals For Young.
KEHADIRAN haiwan comel seperti kucing menjadikan pelajar lebih teruja dalam sesi terapi di Animals For Young.

Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat terapi itu termasuk Intervensi Bantuan Haiwan (AAI), Analisis Tingkahlaku Am (ABA), terapi akuatik, terapi seni, kelas membuat pastri dan kek, kelas bahasa Mandarin, terapi gerakan dan tarian serta program intervensi awal (EIP).

Selain itu, aktiviti seperti memanah, hipoterapi, berkebun, terapi muzik, terapi pekerjaan, fisioterapi, memanjat dinding, kemahiran sosial, terapi percakapan, pembelajaran otak kanan, terapi air dan pasir juga disediakan kepada pelajar.

Sementara itu, kecemerlangan pusat itu turut diiktiraf apabila dipilih sebagai Pusat Austime dan Keperluan Khas Paling Dipercayai 2020 Malaysia oleh APAC Insider sempena Anugerah Bisnes Asia Tenggara 2020, baru-baru ini.

Menurut Dr Khew, pihaknya cukup teruja menerima pengiktirafan berkenaan dan berterima kasih kepada semua pihak yang menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka selama ini.

"Kami akan terus berusaha gigih dan melakukan apa yang terbaik bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan kerana perkembangan mereka serta kegembiraan ibu bapa adalah kepuasan bagi kami,.

"Diharap pusat ini dapat terus membantu kanak-kanak istimewa menerusi program intervensi awal dengan bantuan haiwan yang terbukti efektif dan pada masa sama menyediakan mereka berdikari serta menjalani kehidupan sosial pada masa hadapan," kata Dr Khew sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 7:00 AM