KAKITANGAN pembantu perubatan punya kemahiran tambahan beri kekuatan emosi dan fizikal kepada wanita hamil.
KAKITANGAN pembantu perubatan punya kemahiran tambahan beri kekuatan emosi dan fizikal kepada wanita hamil.
Siti Zarinah Sahib


DI KELILINGI kakitangan perubatan yang bertindak sebagai ‘doula’ ketika berada di bilik bersalin, ia pengalaman yang cukup mengujakan bagi Nurul Fatihah Mohd Noor, 30.

Dia yang dimasukkan ke wad pada usia kandungan 38 minggu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra, Seri Kembangan, terpaksa menjalani proses pencetus kelahiran atau induce untuk mempercepatkan bukaan disebabkan diabetes.

Trauma dengan kelahiran pertama apabila terpaksa menjalani pembedahan kecemasan dan anak kedua tidak ditemani suami di bilik bersalin untuk kehamilan ketiga, dia memilih bersalin di sini.

“Alhamdulillah dengan sokongan daripada ‘doula-doula’ ini saya rasa sangat tenang. Pada mulanya saya takut seandainya terpaksa dibedah lagi, tetapi ia tidak berlaku. Saya gembira kerana kakitangan perubatan di sini memberikan sokongan emosi yang sangat mendalam sehinggakan saya bersemangat menempuh proses kelahiran tanpa sebarang komplikasi,” katanya yang melahirkan bayi perempuan, Naurah Qamileyya Muhammad Syauqi pada 19 Julai lalu.

Tambahnya lagi, ketika dalam kesakitan, sentuhan tangan, urutan, kata-kata lembut, bacaan Yasin dan ayat al-Quran sepanjang berada di bilik bersalin sangat diperlukan. Malah, semua kebaikan yang ditunjukkan kakitangan terlalu istimewa dan sangat dirindui sehingga kini.

Bagi kebanyakan wanita, kelahiran dianggap satu proses yang amat menakutkan, ketidakselesaan, trauma dan kesakitan. Ini ditambah dengan persepsi layanan buruk petugas hospital serta proses pembedahan menyebabkan ramai memilih untuk mendapatkan khidmat doula atau peneman kelahiran walaupun khidmat itu tidak pernah diiktiraf di negara ini.

Namun pendapat berbeza diberikan Pengasas Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra, Dr Khamsiah Muda yang mengakui peranan doula adalah penting dalam bidang perawatan pesakit.

Ini kerana ibu hamil mudah tertekan dan murung disebabkan perubahan hormon. Ada antara mereka terpaksa bertemu pakar psikiatri untuk mendapatkan bantuan sebelum ia melarat.

DR Khamsiah
DR Khamsiah

Untuk mengelak kemurungan, di sinilah pentingnya doula membantu merawat dan menstabilkan emosi pesakit.

Merujuk beberapa kes kematian bayi membabitkan doula, jelas Dr Khamsiah, dia sebenarnya sedih dan tidak bersetuju dengan apa yang berlaku. Doula terlalu melampaui batas dan meletakkan tugas mereka melebihi apa yang sepatutnya. Ini menyebabkan berlaku pertembungan di antara rawatan moden dengan doula sedangkan kedua-duanya saling memerlukan.

“Pertembungan ini disebabkan salah faham mengenai tugas masing-masing. Doula harus menghargai ilmu rawatan moden manakala kaki tangan perubatan harus menerima doula yang berfungsi mengendalikan emosi pesakit,” katanya yang mengakui perbincangan sedang dijalankan dengan persatuan doula bagi mencari pendekatan terbaik agar kedua-dua pihak mendapat manfaat.

PERANAN DOULA

Menjelaskan mengenai peranan doula, ujar Dr Khamsiah, ia sangat spesifik. Doula berfungsi membantu ibu mengandung dan keluarga dalam merancang, memilih proses bersalin dan ketika berpantang serta memberi sokongan dari segi emosi dan fizikal kepada wanita hamil.

“Memenuhi fungsi ini, doula boleh jadi sesiapa sahaja terutama suami atau keluarga yang boleh membantu dan menemani bakal ibu di dalam proses kelahiran. Bezanya di Malaysia doula ini kebiasaannya adalah golongan luar daripada keluarga dan dibayar untuk perkhidmatan mereka,” jelasnya.

“Cuma apa yang menyebabkan timbul polemik di negara ini apabila tugas doula diangkat menyamai doktor, bidan atau jururawat sehingga mereka boleh menyambut kelahiran, sedangkan doula tidak boleh terbabit dalam apa-apa peranan klinikal, termasuk memberi nasihat seperti doktor atau bidan,” katanya tegas.

Sambil merujuk doula di luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang mempunyai pertubuhan dan badan berkuasa memantau aktiviti doula agar mereka mematuhi standard ditetapkan dan tidak sama sekali melangkaui batasan.

“Berbeza dengan Malaysia kerana kita tidak mempunyai sebarang pertubuhan yang boleh memantau aktiviti doula. Selagi pertubuhan doula ini tidak direalisasikan di Malaysia, maka aktiviti doula di Malaysia dianggap tidak diiktiraf,” jelasnya.

PENJAGAAN secara peribadi memberikan keselesaan kepada ibu yang baru melahirkan anak.
PENJAGAAN secara peribadi memberikan keselesaan kepada ibu yang baru melahirkan anak.

SIAPA ‘DOULA’ DI ANDORRA

Di Andorra ‘doula’ merujuk kepada kakitangan pembantu perubatan (Care Assistant) yang dilatih untuk membantu doktor pakar, bidan dan jururawat di bilik bersalin dan di wad bersalin. Paling istimewa, doula ini mempunyai kemahiran tambahan yang boleh menyumbang kepada kekuatan emosi dan fizikal wanita hamil.

“Sebagai contoh, untuk pesakit beragama Islam, kami mempunyai pembantu perubatan terdiri daripada bekas pelajar sekolah tahfiz yang mampu membaca surah dengan baik bagi membantu bakal ibu untuk lebih tenang dan bersedia sebelum dan ketika proses kelahiran.

“Pembantu perubatan yang berada di wad pula dilatih dalam urutan terapeutik bagi melegakan ketegangan fizikal ibu. Pembantu kesihatan di Andorra juga diberi latihan asas rawatan kesihatan untuk membantu pesakit seperti bantuan pernafasan (CPR), latihan berkaitan kawalan kualiti kesihatan sekeliling termasuk pencegahan dan kebersihan serta latihan khidmat pelanggan untuk memastikan mereka memberikan senyuman mesra serta layanan terbaik kepada pesakit.

“Mereka juga akan membantu memandikan, penukar pakaian dan apa sahaja bantuan diperlukan selama berada di hospital. Bagi pesakit terutamanya yang pertama kali menjadi ibu, perasaan disayangi seperti berada bersama keluarga sendiri adalah sangat membantu proses pemulihan,” katanya.

Layanan pembantu perubatan atau doula yang mesra serta bersifat peribadi ini bagi memastikan kebajikan dan keperluan ibu terjamin dari saat mereka melangkah masuk sehingga meninggalkan hospital. Malah, setiap ibu akan mendapat hadiah jambangan bunga segar selepas proses kelahiran agar emosi mereka kekal ceria.

“Ini mungkin dilihat remeh tetapi bagi kami, kegembiraan pesakit dan kualiti layanan menjadi tunjang kepada identiti hospital,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:46 AM