Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Johor sudah memulakan siasatan berhubung penularan berita kematian bayi yang baru dilahirkan dan disyaki berkaitan dengan amalan khidmat ‘doula’ (pembantu ketika melahirkan anak) di rumah di Johor Bahru, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu dan turut menerima laporan polis dibuat wanita yang dipercayai doula terbabit.

"Memang ada keluar banyak kenyataan di Facebook (FB) berhubung kejadian ini dan wanita yang dikatakan doula itu juga ada membuat laporan polis menafikan tuduhan bahawa dia terbabit dengan kejadian yang menyebabkan kematian bayi itu.

"Kita sudah merujuk dengan keluarga yang melahirkan bayi itu, namun menurut kenyataan awal mereka tiada menyebut tentang hal doula ini.

"Jadi, kita sudah memulakan semula siasatan terperinci berdasarkan apa yang dinyatakan dalam FB dan kita akan mendapatkan semula maklumat," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat bertemu dengan ibu yang melahirkan bayi berkenaan malam tadi, kerana wanita itu sedang berehat di kampung dan mahu memberi ruang kepadanya sebelum mengambil keterangannya semula.

"Kita tidak mahu memberi tekanan kepada ibu bayi berkenaan dan kita tidak tahu lagi apa cerita sebenar yang berlaku.

"Kita juga akan merakamkan percakapan daripada wanita yang dikatakan doula itu, jadi buat masa sekarang saya belum boleh mengesahkan sama ada kenyataan di FB itu adalah benar atau tidak," katanya.

MOHD Khalil Kader Mohd. FOTO arkib NSTP
MOHD Khalil Kader Mohd. FOTO arkib NSTP

Mohd Khalil juga berkata, pihaknya belum dapat mengklasifikasikan kes berkenaan kerana siasatan awal belum dapat menimbulkan apakah bentuk kesalahan yang berlaku.

"Kita akan lihat nanti, sekiranya ada berlaku unsur fitnah dalam kes ini, maka kita akan rujuk ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Manakala, sekiranya benar proses kelahiran itu ada membabitkan apa-apa kesalahan, kita rujuk kepada Kementerian Kesihatan dan kita akan lihat seksyen yang sesuai untuk mengambil tindakan," katanya.

Baru-baru ini, tular di FB berhubung kematian seorang bayi yang dilahirkan dengan cara 'homebirth' yang didakwa berlaku di negeri ini.

Amalan 'homebirth' itu didakwa menyebabkan bayi yang baru lahir itu dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi ketika kelahiran yang mana di bawah pengawasan doula.

Walaupun berita berkenaan tidak dinyatakan tarikh dan masa kejadian, namun ia mendapat perhatian pengguna laman media sosial itu kerana kehidupan bayi itu berakhir tragis akibat komplikasi kelahiran 'homebirth'.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat semalam, mengingatkan bahawa amalan kelahiran di rumah atau bersalin tanpa kemudahan perubatan seperti di rumah sendiri adalah tidak disyorkan dan ibu mengandung perlu mempertimbang dan membuat keputusan yang terbaik tentang lokasi melahirkan anak mereka.

Beliau berkata, kemudahan bersalin dan kemudahan dewan bersalin yang betul di hospital dan premis yang disyorkan direka untuk meminimumkan risiko ketika kelahiran dan diuruskan oleh mereka yang disahkan dari segi perubatan seperti doktor dan jururawat terlatih atau bidan.

"Jangan mengambil risiko apabila jelas terdapat pilihan yang lebih baik yang boleh dilakukan untuk mencegah risiko komplikasi yang lebih tinggi ketika bersalin," katanya.

Ayub juga menegaskan bahawa unit pengamal perubatan swasta negeri juga tidak mengiktiraf peranan doula di negeri ini kerana mereka tidak dilatih dalam ubat-ubatan dan tidak mempunyai kelulusan untuk memberikan perkhidmatan perubatan atau rawatan kepada orang ramai.

Berita berkaitan:

Ibu mengandung jangan ambil risiko

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 12:47 PM